Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau kini dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) sejak petang kelmarin akibat sesak nafas.

Anaknya, Mohd. Zaini memaklumkan bapanya kini dalam keadaan stabil dan boleh bercakap seperti biasa tetapi mengadu kepenatan.
Advertisement
“Semalam, bapa mengadu sesak nafas lalu kami membawanya ke HTI dan dia dirawat di wad kecemasan pada kira-kira pukul 12 tengah hari. Pada pukul 5 petang, bapa dimasukkan ke wad biasa.
“Pemeriksaan oleh doktor mendapati bapa mengalami kencing manis tinggi gula, dia juga sesak nafas dan kini masih ditahan di wad.
“Keadaannya sekarang sudah stabil, boleh makan sedikit sedikit, dia juga sudah boleh bercakap cuma dia tak larat duduk lama, kerana akan rasa penat,” katanya.
Terdahulu, M. Daud Kilau pernah dimasukkan ke hospital sama selepas mengadu sesak nafas pada September lalu.
Berusia 85 tahun, penyanyi itu mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
Masalah kesihatan yang dihadapinya itu telah membuatkannya mengambil keputusan untuk tidak lagi membuat persembahan pentas.
Malah, beliau juga lebih banyak berbaring di rumah ketika kurang sihat.
Sumber: Kosmo Online