Pelakon veteran, Jalil Hamid meluahkan rasa syukur terhadap keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan kepadanya semalam.

Berusia 66 tahun, dia terharu apabila Anwar dilihat amat prihatin dan peka terhadap isu kesihatan di kalangan penggiat seni veteran sebagai perkara utama.
Advertisement
"Ia satu benda yang sangat baik dan bermakna. Terima kasih sekali lagi kepada beliau (Anwar) kerana sama-sama menolong, membantu dan mengenang jasa artis-artis kita.
"Sebelum ini, saya dapat juga sumbangan daripada beberapa pihak lain seperti Pusat Zakat Selangor (PZS). Termasuk, ada juga pihak tertentu beri sumbangan beras dan makanan.
"Namun, sumbangan daripada beliau (Anwar) agak istimewa. Syukur masih ada yang ingatkan kita yang dah berumur macam ini dan tidak lagi mampu bekerja," katanya.
Malah, pelakon dan penyanyi veteran ini juga berbangga kerana memiliki pemimpin tertinggi kerajaan yang ingat jasa-jasa mereka.
"Sebelum ini, tiada lagi Perdana Menteri sebegini yang memberikan tanggungjawab kepada suatu badan atau persatuan.
"Macam inilah, Perdana Menteri yang ada rasa prihatin terhadap penggiat seni. Semoga usaha ini diteruskan lagi. Sekarang pun kita dalam keadaan yang payah, jadi berbanyak terima kasih diucapkan.
"Saya tak mampu nak cakap apa-apa lagi. Namun, dalam kepayahan kita, masih ada yang tolong. Alhamdulillah," jelasnya.
Sumber: Harian Metro