Ibu kepada penyanyi Shila Amzah, Fauziah Sarman akhirnya membuat pengesahan perceraiannya dengan penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, 62 telah pun berakhir.

"Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya kes kami selesai secara baik pagi ini apabila hakim mengesahkan lafaz cerai yang dibuat bekas suami melalui 'voice note' (rakaman suara) di WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah," katanya.
Advertisement
Memetik laporan Harian Metro, Fauziah dilihat hadir pada prosiding pengesahan lafaz cerainya dengan ND Lala di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Perkahwinan selama 34 tahun ini akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila lafaz cerai didengar di hadapan Hakim Ahmad Muttaqi Ismail pada jam 10.30 pagi.
Malah, Fauziah menegaskan mereka sudah sah bukan lagi suami isteri dan dia berterima kasih atas doa yang diberikan buat dirinya dan keluarga.
"Mengenai apa perancangan selepas ini, saya belum membuat sebarang keputusan lagi. Namun, segala yang berhak menjadi hak saya sepanjang perkahwinan kami, insya-Allah akan saya tuntut mengikut undang-undang.
"Diharapkan semua dapat mendoakan saya dan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada saya selama ini. Hanya Allah saja dapat membalasnya" jelasnya.
Sumber: Harian Metro