Selebriti, Diana Danielle menegaskan dia menolak tawaran perdamaian bernilai RM319,700 yang dikemukakan suami, Farid Kamil.
Malah, dia juga tidak mahu membuat sebarang tuntutan kecuali hak penjagaan anak dan dilepaskan cara baik.
Advertisement

Menurut peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir, beliau memaklumkan anak guamnya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan baik dan membenarkan anak-anak dibawa Farid meraikan Aidilfitri di Sungai Petani, minggu depan.
"Diana tidak mahu tuntut apa-apa pun kecuali hak jagaan anak-anak. Dia mahu dilepaskan dengan cara baik demi kebaikan anak-anak.
"Mereka akan kekal sebagai kawan dan Farid dibenarkan jumpa anak-anak. Malah, Farid boleh bawa anak-anak pulang sambut Hari Raya di Sungai Petani, Kedah," katanya.
Tawaran perdamaian termasuk kenderaan MPV Toyota Vellfire bernilai RM225,000; barangan kemas bernilai RM10,700; wang pendahuluan nafkah dari Mac lalu sehingga Jun ini bernilai RM40,000 dan bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya dianggap hadiah, namun, didakwa bertukar menjadi hutang bernilai RM44,000.
Menurut Farid, dia berharap tawaran itu boleh memujuk dan melembutkan hati Diana demi masa depan dan kebaikan dua anak mereka, iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Namun, anak guamnya tetap nekad untuk mengakhiri perkahwinannya bersama Farid dan menolak tawaran tersebut.
"Diana sudah beri kebenaran untuk Farid ambil anak untuk cuti Hari Raya ini. Diana beritahu tiada masalah.
"Jadi, sehari sebelum Hari Raya, Farid boleh datang dan ambil anak-anak serta sambut Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah, selama beberapa hari.
"Diana tidak akan beraya dengan anak-anaknya pada awal Syawal. Diana bersetuju untuk bercerai selepas itu dan dia tidak mahu kembali hidup semula.
"Dia mahu keluar dari perkahwinan itu. Saya sudah maklumkan perkara ini kepada peguam Farid, Fakhrul Azman, malam tadi," katanya.
Tambah Akberdin, pihaknya mahu menyelesaikan semua urusan anak guamnya termasuk nafkah anak-anak.
Pada 30 Mei depan, Farid dan Diana akan menghadiri prosiding penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada sebelah pagi disusuli prosiding laporan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, pada sebelah petang.
Sumber: Berita Harian