
Advertisement
Teruja menyambut kepulangan Putera tercinta, Syamsul Yusof, Datin Patimah, telah menyediakan lauk kesukaan intan payungnya itu iaitu masak lemak kuning otak lembu.
Bapa pengarah itu, Datuk Yusof Haslam berkata, Isterinya berhasrat untuk menyediakan hidangan makan malam hasil air tangan sendiri setelah Syamsul memberitahu bahawa dia akan pulang ketika menghubungi Patimah pada Isnin lalu.
“Apabila Syamsul menghubungi ibunya dan beritahu nak balik rumah jumpa kami berdua, saya panjatkan rasa syukur kepada Allah atas kemanisan dihadirkan buat keluarga kami.
“Sudah tentu ibunya paling teruja sampai minta ingatkan jangan lupa temankan dia ke pasar pagi semalam sebab nak beli paru serta otak lembu.
“Isteri saya kata dah lama Syamsul tak rasa lauk-pauk air tangannya terutama juadah kesukaannya iaitu masak lemak kuning otak lembu, cuma paru pula dah habis awal,” ujar beliau lagi.
Menurut Yusof, kesediaan Syamsul pulang untuk bertemu mereka telah membawa kegembiraan kepada seisi keluarganya, yang sudah lama menantikan detik berharga ini selepas hampir lima tahun tidak bersua.
Oleh itu, dia dan isteri memilih untuk tidak lagi mengungkit kisah lampau atau rasa kecewa yang mungkin dirasai oleh anak mereka.
Terdahulu, Patimah memuat naik foto bersama Syamsul yang sudah kembali ke pangkuan keluarga dan beliau juga turut berkongsi sekeping lagi gambar yang memaparkan bekas isteri pertama Syamsul iaitu Puteri Sarah Liyana turut bersama mereka.
Sumber: Kosmo