Pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, cedera apabila dia diserang dan dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di bandar raya ini malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.53 malam itu, dia dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Advertisement
Dia terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaan pada bahagian kepala dan tapak kaki kiri.
Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit juga kerugian RM4,800 selepas beg tangan jenama LV dan dompet jenama Coach dilarikan dua penjenayah yang memakai jaket hoodie berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, pihaknya memaklumkan siasatan awal mendapati Muhammad Akhyar telah didatangi dua lelaki tersebut sejurus keluar dari kereta yang diletakkan di hadapan apartmen terbabit.
“Sebelum kejadian, mangsa (Muhammad Akhyar) baru pulang dari menjalani sesi latihan bersama TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus,” katanya.
Sumber: Kosmo Online