
Foto sekadar hiasan
Nama dalam kalangan generasi baharu kini dilihat semakin berubah berbanding dahulu, dengan trend penamaan yang lebih moden dan pelbagai.
Advertisement
Jika sebelum ini, penggunaan nama bermula dengan ‘MOHD’ sangat biasa dan hampir setiap kelas mempunyai individu dengan nama tersebut, kini ia semakin jarang ditemui dalam pendaftaran kelahiran baharu.
Situasi ini menimbulkan persoalan tentang ke mana hilangnya penggunaan singkatan tersebut dalam nama generasi sekarang.
Baru-baru ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang menerusi hantaran di platform Threads memaklumkan bahawa penggunaan singkatan ‘MOHD’ tidak lagi dibenarkan dalam pendaftaran nama anak.
Sebaliknya, ibu bapa perlu menggunakan ejaan penuh seperti Mohamad, Muhamad atau Muhammad bagi memastikan ketepatan dan standard penulisan dalam rekod rasmi generasi baharu.
“Nama yang tidak lagi digunakan pada anak-anak sekarang ialah MOHD. Nama tersebut perlu ditulis penuh Mohamad, Muhamad atau Muhammad,” menurut perkongsian tersebut.

Foto sekadar hiasan
Selain ‘MOHD’, singkatan lain seperti MD, MHD dan ABD turut tidak dibenarkan dalam proses pendaftaran nama.
Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk mereka yang masih memiliki singkatan ‘MOHD’ pada kad pengenalan masing-masing.
Ada yang berpandangan bahawa penggunaan ejaan penuh lebih sesuai dan lebih cantik dari segi penulisan rasmi.
“Saya generasi yang di IC bernama MOHD. Tapi memang lebih indah kalau ditulis penuh Muhammad,” kata seorang pengguna.
Dalam masa sama, ada juga yang menganggap ‘MOHD’ sebagai identiti unik masyarakat Malaysia yang telah lama digunakan turun-temurun.
“Mohd itu wujud sebab singkatan Muhammad dalam tulisan Jawi (Mim-Ha-Mim-Dal),” kata seorang lagi pengguna.
Walaupun tidak lagi digunakan dalam pendaftaran baharu, singkatan ini masih kekal sebagai sebahagian daripada sejarah dan kebiasaan dalam sistem penamaan di Malaysia.
Sumber: Threads @jpnppofficial