Skip to main content

Advertisement

Berita

KKM Umum Harga Ubat Naik Hingga 40% Susulan Kenaikan Kos Logistik dan Bahan Api

Foto sekadar hiasan

Harga ubat-ubatan di Malaysia dilaporkan mengalami peningkatan ketara, dengan kenaikan dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus berdasarkan perkembangan semasa kos kesihatan.

Advertisement

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa situasi itu berpunca daripada kenaikan kos bahan api yang turut memberi kesan kepada rantaian bekalan, khususnya dari segi pengangkutan dan logistik.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan kos minyak memberi tekanan besar kepada harga pengedaran ubat-ubatan serta peralatan perubatan di pasaran.

“Pastinya harga ubat sudah pun mula meningkat kerana perkara ini berkait dengan logistik, pengangkutan dan minyak. Kita dapati kos kenaikan harga ubat-ubatan telah pun berlaku lebih kurang 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kenaikan lebih ketara berlaku pada peranti perubatan berikutan gangguan dalam proses penghantaran konsainan pada peringkat awal.

Foto sekadar hiasan

Keadaan tersebut menyebabkan sebahagian penghantaran tertangguh, sekali gus mendorong kenaikan harga lebih awal daripada jangkaan asal.

Tambah beliau, isu berkenaan sedang diteliti secara menyeluruh oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi mencari penyelesaian terbaik di peringkat Kabinet.

“Kita sentiasa meneliti perkara ini dan akan memperincikan langkah terbaik bagi menangani isu ini sama ada jangka pendek, sederhana atau panjang,” ujarnya.

Walaupun berlaku tekanan kos, beliau memberi jaminan bahawa sistem kesihatan negara masih berfungsi dengan baik dan tidak terjejas buat masa ini.

Sumber: Kosmo

SINAR Muzik Retro Terbaik