Skip to main content

Advertisement

Berita

Tiada Lagi Kompromi, Pelajar Juga Dilarang Guna Laluan Haram Sungai Golok

Foto sekadar hiasan

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat menegaskan penggunaan laluan tidak sah di sepanjang Sungai Golok bagi tujuan merentas sempadan Malaysia-Thailand tidak dibenarkan sama sekali, termasuk melibatkan pelajar sekolah.

Advertisement

Beliau berkata, mana-mana individu yang ingkar dan masih menggunakan pangkalan haram akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa sebarang pengecualian.

“Isu penutupan pangkalan haram sudah lama dikuatkuasakan lebih setahun yang lalu dan sepatutnya semua sudah tahu serta maklum undang-undang berkenaan.

“Saya sudah maklum sebelum ini mana-mana yang mahu rentas sempadan perlu guna laluan sah iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk pelajar dan murid sekolah.

“Malah isu pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang juga sudah diputuskan dengan beberapa pilihan diberikan sebelum ini.

“Tiada lagi alasan untuk menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka yang ditahan kerana merentas sempadan secara haram akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas penahanan sekumpulan pelajar sebelum ini, beliau menjelaskan keluarga mereka sebenarnya telah dimaklumkan lebih awal tentang larangan berkenaan dan keperluan menggunakan laluan rasmi.

“Berhubung tangkapan sekumpulan pelajar pagi semalam, keluarga pelajar sebenarnya sudah sedia maklum bahawa tidak dibenarkan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah sebaliknya perlu menggunakan laluan sah.

“Justeru saya berharap selepas ini semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan yang dilakukan ini bukan soal saya tegas, sebaliknya ini adalah undang-undang.

“Jika saya membenarkan kumpulan pelajar ini merentas sempadan secara haram, akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kumpulan ini untuk membawa bahan terlarang.

“Malah tindakan saya menutup laluan pangkalan haram termasuk kepada pelajar juga turut dipersetujui Kementerian Pendidikan Malaysia. Mereka bersetuju dan tidak menghalang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

SINAR Muzik Retro Terbaik