Skip to main content

Advertisement

Berita

Kematian Wan Ahmad Faris: Mahkamah Tetapkan Perbicaraan Penuh Kes Saman Kecuaian Pada 2027

Foto: Facebook

Kes saman kecuaian yang difailkan oleh keluarga Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman berhubung kematiannya lebih sedekad lalu akan dibicarakan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Advertisement

Hakim Mohd Rosli Yusoff memutuskan perkara itu selepas menolak permohonan pihak kerajaan, polis serta lapan lagi defendan yang sebelum ini cuba membatalkan saman berkenaan. Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan berlangsung dari 5 hingga 7 April 2027, manakala sebutan pengurusan kes dijadualkan pada 18 Mei ini.

Peguam keluarga mangsa, Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin memaklumkan tindakan undang-undang itu difailkan atas dakwaan kecuaian dalam pengendalian siasatan kes kematian pelajar terbabit.

“Mahkamah mendapati kes ini bukanlah satu kes yang jelas untuk dibatalkan secara ringkas,” katanya.

Menurut beliau, keputusan mahkamah turut mengambil kira tempoh siasatan yang berlarutan beberapa tahun selepas kejadian, termasuk prosiding inkues yang bermula pada Mac 2016 serta perkembangan kes sehingga 2018.

“Mahkamah berpendapat adalah tidak munasabah untuk menganggap tuntutan plaintif telah luput tempoh masa jika ia hanya bersandarkan kepada tarikh kejadian pada Disember 2013,” jelasnya.

Difahamkan, saman tersebut difailkan oleh keluarga mangsa pada Julai tahun lalu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia akan membuka semula siasatan kes berkenaan yang dipercayai mempunyai unsur jenayah di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan.

Menurut beliau, tiada halangan untuk siasatan semula dijalankan kerana kertas siasatan terdahulu dianggap lengkap.

Mangsa yang ketika itu merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemukan dalam keadaan tergantung di tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman selepas penyelia menyedari bau busuk.

Pada peringkat awal, laporan bedah siasat mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.

Namun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 kemudian memutuskan kematian itu berpunca daripada perbuatan jenayah oleh individu yang masih belum dikenal pasti.

Sumber: Bernama

SINAR Muzik Retro Terbaik