Pendakwah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 40, bersyukur tidak dihalang berdakwah selepas perjumpaan dengan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Isnin lalu.

Pengurus kepada pendakwah itu yang dikenali sebagai Ana berkata, Ustaz Don tiada masalah untuk berdakwah walaupun dalam program keagamaan dan kerohanian di televisyen (TV).
Advertisement
“Perjumpaan Ustaz Don dengan pegawai JAKIM berlangsung sangat baik. Malah, tiada halangan untuk Ustaz Don teruskan berdakwah walaupun dalam program TV.
“Bagaimanapun, untuk kemunculan Ustaz Don dalam program Salam Baitullah, kami sedang menanti keputusan pihak tertinggi RTM untuk kemasukan semula itu (selepas direhatkan),” katanya.
Sebelum ini, Ustaz Don dilaporkan 'direhatkan' daripada bersiaran di RTM untuk program Salam Baitullah terbitan stesen TV itu susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Keputusan berkenaan dimaklumkan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman melalui perkongsian dibuat beliau dalam hantaran ciapan di laman sosial X pada 5 Jun lalu.
Sumber: Berita Harian