Foto: Agensi
Seekor ayam dari Texas, Amerika Syarikat berjaya mencatatkan sejarah apabila diiktiraf sebagai ayam tertua di dunia oleh Guinness World Records. Ayam betina yang diberi nama Pearl itu menempah rekod pada usia 14 tahun 69 hari, jauh melepasi jangka hayat purata kebanyakan ayam.
Advertisement
Menurut pemiliknya, Sonya Hull, Pearl menetas daripada mesin inkubator miliknya pada 13 Mac 2011. Sejak itu, Pearl dijaga penuh kasih sayang sehingga mampu mencapai usia yang begitu luar biasa.
“Pearl berjaya menempuh pelbagai cabaran kerana secara umumnya, ayam hanya mampu hidup sekitar lima hingga lapan tahun. Usianya yang panjang ini benar-benar luar biasa,” kata Hull ketika ditemu bual.
Hull turut berkongsi keadaan Pearl yang kini semakin berusia. Pergerakannya terbatas dan Pearl lebih selesa menghabiskan masa di bilik dobi rumahnya, jauh daripada ayam-ayam lain.
Menariknya, sejurus selepas menerima pengiktirafan rasmi daripada Guinness World Records pada 22 Mei lalu, Pearl masih sempat menghasilkan sebiji telur, sekali gus membuktikan kekuatan serta keistimewaannya.
Sebelum ini, rekod ayam tertua di dunia dipegang oleh seekor ayam bernama Peanut dari Illinois. Namun, rekod tersebut dipintas selepas kematian Peanut pada 25 Disember 2023, sekali gus meletakkan Pearl sebagai pemegang rekod baharu.
Sumber: Agensi