Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Seri Najib Razak membela diri terhadap empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap empat pertuduhan itu.
Advertisement
Bagi 21 lagi pertuduhan, setakat ini mahkamah belum memutuskan sama ada Najib, 71, perlu membela diri atau dilepaskan.
Beliau menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber: Kosmo Online