Polis membuka dua kertas siasatan berkait amang seksual dan penderaan selepas empat pelajar yang melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat sejak Isnin lalu, ditemui kelmarin.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya memaklumkan pemeriksaan pihak hospital menemui kesan kecederaan lebam pada tubuh badan keempat-empat kanak-kanak berusia 13 tahun sehingga 14 tahun.
Advertisement
Tambahnya, kesan lebam itu dipercayai diperoleh semasa mangsa berada di pusat tahfiz tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan dan ia dipercayai berlaku pada tempoh masa mereka berada di pusat tahfiz tersebut.
“Disebabkan mereka ini kanak-kanak, kita akan siasat dengan teliti dakwaan didera dan diperlaku seksual,” katanya.
Tambah beliau, kesemua kanak-kanak itu baru sahaja menuntut di pusat tahfiz berkenaan kurang satu tahun.
Malah, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka dibuli namun akan menjalankan siasatan dengan teliti sebelum tindakan seterusnya diambil.
Sumber: Kosmo Online