Seorang bapa merogol dan mencabul dua anak perempuan kandungnya pada April dan bulan lalu telah menerima hukuman penjara selama 27 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar warkah yang ditulis dua beradik berusia 11 dan 14 tahun yang dibacakan pihak pendakwaan sebelum pemberat hukuman dilakukan.
Advertisement
“Kami tak mahu lagi jumpa bapa. Dia buat kami trauma, takut dan benci padanya. Kami berasa jijik atas perbuatannya terhadap kami.”
Tertuduh yang berusia 45 tahun, bekerja sebagai pemasang jubin didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 kerana mencabul dan merogol dua anak kandung perempuannya.
Kedua-dua perbuatan jijik itu berlaku di kediaman keluarga itu di Batu Pahat antara pukul 2.30 hingga 4 petang, 28 Ogos lalu serta sekitar April tahun ini.
Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat ibu mangsa yang juga isteri tertuduh pada pukul 10 malam, 28 Ogos lalu memaklumkan dua anak mereka dirogol dan dicabul tertuduh.
Dalam laporan itu, mangsa memberitahu dia dirogol sebanyak dua kali dalam tempoh kurang tiga jam ketika sedang baring di ruang tamu rumah.
Sumber: Kosmo Online