Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Amy Search Diangkat Sebagai Ikon Rock Sepanjang Zaman Di The Knights Award

amy search diangkat sebagai ikon rock sepanjang zaman di the knights awardFoto: Instagram

Dewan Filharmonik Petronas menjadi saksi kepada malam penuh gemerlapan apabila tiga legenda seni tanah air, Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Amy Search menerima penghormatan tertinggi dalam majlis The Knights Award Musim Keempat: Beyond Borders.

Advertisement

Anugerah bertaraf antarabangsa itu mengiktiraf keunggulan dan sumbangan besar mereka dalam dunia seni, menjadikan malam tersebut satu momen bersejarah buat industri hiburan Malaysia.

Dalam acara itu, Yusof Haslam dinobatkan sebagai Penerbit Sepanjang Zaman (Malaysia), Rosyam Nor menerima anugerah Pelakon Paling Diraikan Sepanjang Zaman (Malaysia), manakala Amy Search diangkat sebagai Ikon Rock Sepanjang Zaman (Malaysia).

Rosyam mengakui sebak dan terharu apabila perjuangannya selama lebih empat dekad dalam dunia lakonan mendapat pengiktirafan bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di lebih 122 negara.

“Saya sudah 41 tahun dalam industri. Bila diberi penghormatan ini, saya sangat terharu kerana ia bukan sekadar penghargaan tempatan tetapi pengiktirafan dunia. Ini benar-benar menyentuh hati saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap anugerah bukanlah titik penamat, sebaliknya satu amanah untuk terus memberikan sumbangan terbaik serta menjadi inspirasi buat generasi baharu.

Sementara itu, Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong, berkata kejayaan penganjuran tahun ini membuktikan kemampuan Malaysia berdiri megah di peringkat antarabangsa sebagai hab inovasi dan kepimpinan global.

“Kami berjaya menghimpunkan tokoh dari pelbagai benua termasuk Brazil, Kanada dan Mesir, selain menjalin kerjasama dengan Commonwealth Youth Innovation Hub yang melibatkan 56 negara Komanwel. Ini menunjukkan Malaysia mampu menjadi jambatan global,” katanya.

The Knights Award tahun ini memberi penghormatan kepada 36 tokoh dan organisasi terkemuka daripada pelbagai sektor melalui tiga kategori utama iaitu Duke, Earl dan Baron yang melambangkan tahap kepimpinan, inovasi dan dedikasi dalam bidang masing-masing.

Antara penerima kategori Duke termasuk Saintis Negara Tan Sri Emeritus Prof Datuk Dr. Augustine Ong, penyanyi legenda Amerika Syarikat Peabo Bryson yang menerima anugerah Penyanyi Balada Jiwa Legenda Sepanjang Zaman (AS), serta Datuk Yusof Haslam selaku Penerbit Sepanjang Zaman (Malaysia).

Bagi kategori Earl, selain Datuk Amy Search, Datin Seri Aishah Chong turut diiktiraf sebagai Wanita Paling Berdedikasi.

Kategori Baron pula menonjolkan bintang baharu dan syarikat pelopor teknologi seperti Spacedollah, MUSH-E dan AISZE Global yang masing-masing memperkenalkan inovasi dalam pendidikan, teknologi dan kandungan digital.

Lebih daripada sekadar malam penghargaan, The Knights Award turut memperkenalkan pelbagai inisiatif susulan seperti kempen pemasaran strategik, peluang jaringan antarabangsa dan konsultansi eksklusif bagi membantu para penerima memperkukuh kedudukan mereka di pentas global.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik