Pempengaruh media sosial, Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas 10 pertuduhan niat bersama menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta tiga tahun lalu.

Pasangan itu membuat pengakuan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Advertisement
“Faham pertuduhan, mohon dibicarakan,” kata mereka ketika diminta membuat pengakuan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10 mereka didakwa mencapai niat bersama telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta.
Jumlah paling besar adalah RM425,890.64 manakala jumlah terkecil ialah RM438.38.
Untuk rekod, wang-wang tunai itu adalah antaranya bagi tujuan infak Projek Kurma, al-Quran di Masjidil Haram dan Nabawi, pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu (Set pakaian muslimah), set pakaian pakaian raya anak yatim serta sedekah pek makan dan sedekah qurban.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di bank CIMB dan Maybank di Seksyen 8 dan 9 Bandar Baru Bangi antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai 2024 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sumber: Kosmo Online