Pelawak popular, Shuib mengejutkan ramai peminat dan warganet apabila mendedahkan dia pernah pernah terbabit dalam aktiviti perjudian sehingga mengalami ketagihan suatu ketika dulu.

Malah, dia mengaku khilaf dan memohon maaf atas ketelanjuran berkongsi kisah silamnya itu.
Advertisement
Berusia 40 tahun, dia mengakui biarpun perkongsian yang dibuat bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai, tetapi kisah membuka aib tidak seeloknya didedahkan secara terbuka.
“Sebenarnya saya enggan membesarkan hal ini lagi walaupun menerima pelbagai komen positif dan negatif. Namun, kalau dilihat dari sudut hukum agama selepas membuat bacaan dan menonton di YouTube, memang tidak manis membuka aib sendiri walaupun bertujuan untuk memberi pengajaran kepada orang.
“Jadi, tindakan yang dilakukan itu adalah satu khilaf daripada pihak saya dan saya akan mengambil pengajaran serta lebih berhati- hati ketika bercerita mengenai perkara silam.
“Saya juga sedar kadang-kadang niat tidak menghalalkan cara. Jadi, saya ambil maklum sebab ada cara sebenarnya kalau nak bercerita mengenai benda yang tak baik untuk dijadikan pengajaran mengikut Islam,” katanya.
Tambahnya, Shuib berharap agar orang ramai tidak menghukum dirinya dan sentiasa memberikan sokongan terhadap dirinya serta program audio siar Dol's Podcast bersama rakan selebriti lain.
Sumber: Harian Metro