Skip to main content

Advertisement

Berita

JPN Tegaskan Tiada Sekatan MyKad Bagi BUDI95 Selagi Patuh Undang-Undang

Gambar Hiasan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap rakyat Malaysia untuk menggunakan MyKad dalam menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi penggunaan itu mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Advertisement

Menurut kenyataan media rasmi JPN, penegasan ini dibuat susulan siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemiliknya, yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Ketua Pengarah JPN menekankan bahawa kenyataan itu tidak bermaksud menyekat rakyat daripada menikmati subsidi yang disediakan Kerajaan MADANI melalui BUDI95.

“Inisiatif BUDI95 adalah usaha Kerajaan untuk memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” jelas kenyataan itu.

JPN juga menegaskan bahawa penggunaan MyKad oleh individu selain pemiliknya adalah satu kesalahan dan semua rakyat diseru untuk menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab serta tidak menyerahkannya kepada pihak lain, termasuk untuk pembelian bahan api bersubsidi. Tindakan ini bagi mengelakkan implikasi undang-undang dan risiko penyalahgunaan identiti.

Dalam hal pelaksanaan subsidi dan penyalahgunaannya, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkenaan, manakala JPN akan terus memastikan MyKad berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri yang sah, selamat dan diyakini.

JPN turut menggesa rakyat untuk merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat tafsiran, bagi memastikan perbincangan awam berlangsung secara berhemah dan berfakta.

Sebagai institusi pengeluar dokumen pengenalan rasmi negara, JPN menegaskan komitmennya untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan sistem pendaftaran negara, sekali gus memastikan rakyat terus yakin dengan integriti MyKad dalam menyokong pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk BUDI95.

Sumber: Kenyataan Media Jabatan Pendaftaran Negara

SINAR Muzik Retro Terbaik