Skip to main content

Advertisement

Berita

Gabungan ‘Magis’ Suraya Borhan dan Putra Anuar: SINAR Pertaruh Segmen Malam Paling Emosi

Stesen radio popular, SINAR, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri penyiaran tempatan dengan memperkenalkan gandingan baharu yang dinanti-nantikan. Juara Penyampai EMAS SINAR, Suraya Borhan kini bergandingan bersama penyampai berkarisma, Putra Anuar, menerusi segmen terbaharu Berdua Malam Sinar yang mula bersiaran hari ini.

Mengisi slot Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, segmen ini tampil dengan pendekatan santai namun sarat emosi, selari dengan suasana malam yang lebih tenang dan reflektif. Berdua Malam Sinar bukan sekadar hiburan, malah menjadi ruang untuk pendengar berkongsi cerita, meluahkan perasaan serta mendalami pelbagai perspektif kehidupan.

Advertisement

Antara pengisian utama segmen ini termasuk Bebenang Malam, Bila Hati Berbicara dan Bait-Bait Cinta, segmen yang dirangka khas untuk menyentuh sisi emosi pendengar dengan cara yang lebih dekat dan bermakna.

Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, pemilihan Suraya dan Putra mencerminkan komitmen stesen itu dalam menyajikan kandungan berkualiti yang seimbang dengan kekuatan personaliti penyampai.

“Suraya membawa kredibiliti sebagai Juara Penyampai EMAS SINAR dengan gaya penyampaian yang tulus dan penuh emosi, manakala Putra pula menyerlah dengan karakter matang dan bersahaja. Gabungan ini diyakini mampu mencipta pengalaman mendengar yang lebih intim dan relevan,” jelasnya.

Tambah beliau, waktu malam sering menjadi detik untuk pendengar merenung diri dan mencari ketenangan, justeru segmen ini diharap mampu menjadi teman setia yang memahami perasaan mereka.

Dalam masa sama, SINAR optimis bahawa gandingan ini bukan sahaja berupaya menarik pendengar baharu, malah memperkukuhkan kesetiaan pendengar sedia ada.

Buat masa ini, fokus utama stesen berkenaan adalah untuk memastikan pelaksanaan Berdua Malam Sinar berjalan lancar dan memberi impak maksimum. Sebarang pengumuman lanjut berkaitan finalis lain daripada program Penyampai EMAS SINAR (PES) akan dibuat secara berperingkat.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian Astro Audio yang merangkumi 13 stesen radio, SINAR kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia, khususnya peminat muzik retro era 90-an. Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, jenama ini terus relevan dan dekat di hati pendengar.

Pendengar boleh mengikuti Berdua Malam Sinar melalui frekuensi radio, platform media sosial rasmi SINAR, atau dengan memuat turun aplikasi SINAR di App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

SINAR Muzik Retro Terbaik