Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Diana Danielle Tolak Dakwaan Kenal Kekasih Ketika Masih Bergelar Isteri Farid Kamil - “Saya Mengenalinya Selepas Bercerai, Habisnya Tempoh Iddah..”

Pelakon, Diana Danielle tampil menjelaskan dakwaan yang mengaitkan dirinya kononnya sudah mengenali kekasihnya, Bern sebelum berpisah dengan bekas suami, Farid Kamil.

Menurut Diana, perkenalan dengan lelaki itu hanya berlaku selepas dia melalui fasa perpisahan, sekali gus menolak tanggapan bahawa hubungan tersebut bermula ketika dia masih dalam perkahwinan.

"Kami berkenalan sejak tahun lalu. Sebab utama saya tidak mahu mendedahkan hubungan ini lebih awal adalah kerana bimbang akan timbul salah faham, seolah-olah dia sudah hadir dalam hidup saya ketika saya masih berkahwin. Hakikatnya, saya langsung tidak mengenalinya sebelum itu.

"Untuk jelaskan, kami mula berkenalan ketika menghadiri sebuah rumah terbuka. Dari situ, kami mengambil masa yang agak lama untuk benar-benar mengenali antara satu sama lain sebelum mengisytiharkan diri sebagai pasangan,” ujarnya.

Advertisement

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkongsi perkara itu ketika ditemui di sebuah acara berkaitan filem Terbang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Diana yang juga ibu kepada dua anak berkata dia kini lebih terbuka membawa pasangannya ke majlis umum bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi berpanjangan.

"Bagi saya, lebih baik jika saya terbuka tentang hubungan ini supaya orang luar tidak membuat spekulasi atau cuba ‘mendedahkan’ perkara sebelum saya sendiri bersedia. Semakin saya terbuka, semakin kurang orang akan ambil kisah.

"Dulu saya takut dengan pandangan orang. Tetapi sekarang, saya bangga memiliki dia sebagai pasangan. Pada saya, dia seorang lelaki yang baik, berperibadi mulia dan disenangi ramai.

"Saya hanya mahu menghargai fasa dalam hidup saya ini, menghargai orang yang menjaga dan menyayangi saya, sebagaimana saya menyayangi mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Diana memaklumkan hubungan tersebut masih di peringkat awal dan belum ada perancangan untuk melangkah ke arah yang lebih serius dalam masa terdekat.

Sekadar info, Diana mendirikan rumah tangga dengan Farid pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Pasangan tersebut pernah berpisah secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk, namun akhirnya berpisah kali kedua dengan talak satu pada 23 Mac 2025.

SINAR Muzik Retro Terbaik