
Gambar Hiasan
Dalam dunia hiburan, perpisahan artis bukanlah perkara luar biasa. Namun yang sering mencuri perhatian bukan sekadar kisah putus cinta itu sendiri, tetapi reaksi luar biasa daripada peminat. Ruangan komen bertukar menjadi medan perdebatan, wujud ‘Team A’ dan ‘Team B’, masing-masing mempertahankan pendirian seolah-olah mereka berada di dalam hubungan tersebut.
Advertisement
Fenomena ini sebenarnya boleh dijelaskan melalui konsep psikologi yang dikenali sebagai hubungan parasosial (parasocial relationship). Ia merujuk kepada hubungan emosi yang terbina secara satu hala di mana peminat merasakan mereka mengenali seseorang figura awam secara dekat, walhal hubungan itu tidak pernah wujud secara realiti.
Apabila seseorang individu mengikuti kehidupan artis secara konsisten sehinggakan sentiasa menonton siaran langsung, mengikuti perkembangan harian dan menyaksikan momen emosi mereka, otak mula membina ilusi keakraban. Perasaan ini boleh menjadi begitu kuat sehingga peminat merasakan mereka ‘terlibat’ secara langsung dalam kehidupan artis tersebut.
Justeru, apabila berlaku perpisahan, reaksi yang timbul bukan sekadar simpati. Ia boleh bertukar menjadi kemarahan, kekecewaan malah rasa dikhianati. Emosi ini seolah-olah datang daripada pengalaman peribadi, walaupun hakikatnya ia berlaku dalam kehidupan orang lain.
Lebih menarik, reaksi sebahagian netizen bukan semata-mata kerana ingin mempertahankan artis. Dalam banyak kes, ia sebenarnya cerminan emosi dan pengalaman mereka sendiri.

Gambar Hiasan
Individu yang pernah melalui episod ditinggalkan mungkin lebih cenderung menyebelahi pihak yang dilihat teraniaya. Mereka yang pernah dikhianati pula lebih mudah melontarkan kritikan terhadap pihak yang dianggap bersalah. Sementara itu, mereka yang berdepan kesunyian dalam kehidupan harian mungkin menjadikan kisah artis sebagai ruang untuk menyalurkan emosi yang terpendam.
Akhirnya, apa yang berlaku bukan sekadar sokongan terhadap figura awam, tetapi pembinaan naratif peribadi yang diprojeksikan ke atas kehidupan orang lain.
Tidak dinafikan, meminati artis adalah sesuatu yang normal dan boleh menjadi sumber hiburan. Namun, apabila emosi mula melampaui batas hingga mencetuskan pergaduhan, kata-kata kesat atau mengganggu fokus kehidupan seharian, ia menjadi petanda bahawa sempadan antara realiti dan emosi luaran sudah kabur.
Sumber: Public Health Malaysia