
Foto: Instagram
Seorang pelancong wanita dari Belarus menjadi perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman tidak dijangka ketika bercuti di Terengganu apabila dia bertemu seorang wanita tempatan yang kemudian dianggap seperti ibu angkatnya.
Advertisement
Berdasarkan perkongsian di Instagram @exploella, kejadian tersebut berlaku sekitar September 2025 ketika dia dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju Kuala Terengganu dengan menaiki bas.
Tanpa disedari, dia tertidur sepanjang perjalanan dan hanya tersedar apabila sudah berada jauh dari lokasi sepatutnya selepas bas tidak berhenti di hentian terakhir.
Akibat situasi itu, dia terpaksa berjalan kira-kira lima kilometer sebelum ditumpangkan kenderaan ke kawasan pusat bandar Kuala Terengganu.
Ketika berada di bandar, dia kemudian berjumpa dengan seorang wanita tempatan yang tidak dikenalinya dan mereka mula berbual ketika bersarapan.
“Semasa saya menikmati sarapan, ada seorang wanita tidak kenali datang dan bersembang dengan saya,” katanya.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Puan Pauziah kemudian menawarkan diri untuk membawa Ella meneroka beberapa tempat menarik di sekitar bandar menggunakan keretanya.
Antara lokasi yang dilawati termasuk pantai, Masjid Terapung, pusat batik serta kilang kraftangan tempatan.
Perkenalan itu menjadi lebih erat apabila keesokan harinya mereka keluar makan malam bersama, sebelum Puan Pauziah membawa Ella ke Pulau Kapas dan memperkenalkannya kepada komuniti setempat.
“Saya jatuh cinta dengan pulau kecil ini,” kata Ella yang turut menceritakan dia menghabiskan sekitar dua minggu di kawasan itu sambil bergaul dengan penduduk dan pelancong lain.
Selepas itu, Puan Pauziah beberapa kali datang melawat Ella, termasuk membawa makanan tradisional seperti Nasi Kerabu dan memastikan keadaannya sentiasa baik.
Hubungan mereka terus berkekalan walaupun selepas tempoh percutian apabila Puan Pauziah masih kerap menghubungi dan bertanya khabar melalui WhatsApp.
Menurut Ella, dia juga kembali semula ke Pulau Kapas dan masih mengekalkan hubungan rapat dengan “mak angkat” yang dianggap seperti keluarga sendiri.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang terharu dengan keakraban mereka serta memuji sikap mesra masyarakat tempatan terhadap pelancong asing.
Sumber: Instagram @exploella