Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Kehilangan Nadia Kesuma Terjawab, Disahkan Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

kehilangan nadia kesuma terjawab, disahkan meninggal dunia akibat masalah jantungFoto: Astro AWANI

Misteri kehilangan pelakon, Nadia Kesuma selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah akhirnya terungkai apabila pelakon berumur 50 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Advertisement

Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak perempuannya menerusi hantaran di Threads yang menjelaskan punca sebenar pemergian ibunya.

“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Binti Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu, kira-kira pukul 8.05 pagi,” katanya.

Anaknya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan arwah serta memohon agar ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diampunkan segala dosa.

Menurutnya, arwah meninggal dunia disebabkan masalah jantung dan telah dibawa ke hospital pada hari yang sama sejurus tiba di Lapangan Terbang Jeddah.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di Lapangan Terbang Jeddah,” tulisnya lagi.

Bagaimanapun, keluarga tidak menerima sebarang makluman awal mengenai keadaan arwah sehingga lewat malam.

“Tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah pukul 11.10 malam. Berita tersebut disampaikan oleh pihak agensi pelancongan,” jelasnya.

Sebelum ini, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dilaporkan tidak dapat dikesan selepas tiba di Jeddah pada Rabu lalu.

Arwah merupakan antara 21 jemaah yang menyertai rombongan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 28 Januari.

Sumber: Threads

SINAR Muzik Retro Terbaik