Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Ameng Spring Khatam Al-Quran Lebih 100 Kali Ketika Dipenjara - “Hidup Saya Yang Paling Sempurna Adalah di Dalam Penjara…”

ameng spring khatam al-quran lebih 100 kali ketika dipenjara - “hidup saya yang paling sempurna adalah di dalam penjara…”Foto: Instagram

Penyanyi legenda kumpulan Spring, Ameng Spring, mendedahkan bahawa dirinya mula belajar mengaji Al-Quran pada usia 42 tahun ketika menjalani hukuman penjara selama lapan tahun kerana kesalahan berkaitan dadah.

Advertisement

Tempoh ini menurut Ameng menjadi titik perubahan dalam hidupnya, di mana beliau menumpukan sepenuhnya kepada ibadah dan mendalami agama.

Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, setiap hari di sebalik tirai besi penuh dengan penyesalan dan emosi yang getir.

“Saya hari-hari menangis dalam penjara. Nak makan, nak tidur pun menangis sebab saya fikir kenapa aku di sini? Kenapa bodoh jadi macam ini? Ramai yang nak tempat itu (kebebasan) tapi saya sia-siakan,” ujarnya.

Nekad untuk berubah, Ameng mula mencari Al-Quran dan meminta sesiapa yang mampu mengajarnya.

“Ada seorang lelaki bertatu, gengster dalam penjara yang mengajar saya. Saya insaf waktu itu. Saya belajar mengaji umur 42 tahun, dan dalam umur 42 tahun tiga bulan saya khatam,” katanya.

Sejak itu, dirinya tidak menoleh ke belakang dan menjadikan setiap detik di penjara untuk memperbaiki diri melalui ibadah. Ameng juga berjaya khatam Al-Quran sebanyak lebih 100 kali sepanjang tempoh berada di penjara.

“Saya berhenti dan benci dadah kerana Allah. Sudah lebih 100 kali saya khatam Al-Quran. Sebulan dua kali saya khatam. Bila dah pandai baca, kita rasa seronok. Tak ada apa nak buat dalam tu… setiap hari Al-Quran dengan saya. Kita duduk dalam keadaan berwuduk,” jelasnya.

Ameng menyifatkan kehidupan di penjara sebagai pengalaman paling bermakna walaupun serba kekurangan.

“Hidup saya yang paling sempurna adalah dalam penjara. Tak boleh dibayar dengan wang ringgit. Saya ganti puasa, sembahyang ganti, tahajud… semua saya buat. Masa lapang yang dulunya saya bazirkan, hanya tidur,” tambahnya.

Untuk rekod, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas kesalahan berkaitan dadah. Hukuman beliau dipendekkan kerana disiplin baik dan usaha positif yang ditunjukkan sepanjang tempoh di penjara.

Perjalanan spiritual Ameng menekankan bahawa perubahan dan pembelajaran agama boleh dicapai pada bila-bila usia, dan kesungguhan dalam ibadah mampu memberikan ketenangan serta nilai hidup yang lebih bermakna.

Sumber: Gempak

SINAR Muzik Retro Terbaik