
Foto: Astro AWANI
Kerajaan akan memperkenalkan sekatan berperingkat terhadap penggunaan kad kredit dan kad debit milik warga asing bagi urusan pembelian petrol di pam di seluruh negara bermula Rabu ini.
Advertisement
Langkah tersebut dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama syarikat minyak sebagai usaha memastikan subsidi RON95 dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang layak, selain mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan termasuk oleh pemilik kenderaan berdaftar luar negara.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menjelaskan bahawa pendekatan baharu ini diperkenalkan susulan kes sukar dikesan yang melibatkan transaksi di terminal layan diri menggunakan kad asing.
“Ini antara mekanisme baharu untuk kita kawal pembelian dan penjualan petrol RON95 di semua stesen minyak dalam negara.
“Isunya sebelum ini ada banyak kes kenderaan dengan nombor pendaftaran asing yang isi minyak menggunakan kad debit atau kad kredit asing di terminal layan diri pam minyak.
“Oleh itu, sukar untuk pihak stesen minyak dan pihak berkuasa untuk kesan, jika mereka buat pembelian petrol RON95,” katanya.

Foto: Astro AWANI
Beliau turut memaklumkan bahawa pengguna kad asing selepas ini perlu membuat bayaran di kaunter stesen minyak bagi memudahkan pemantauan serta mengelakkan transaksi yang tidak sah.
Langkah tersebut dijangka membantu pengusaha stesen minyak dan pihak berkuasa mengawal aliran jualan dengan lebih berkesan, terutama di stesen yang mempunyai jumlah pam yang banyak.
“Bagi stesen minyak yang misalnya ada lebih daripada 15 pam, sukar untuk mereka kesan jika berlaku ketirisan. Dengan cara ini, bila pengguna mesti buat bayaran di kaunter, kita dapat pastikan mereka yang tak layak tidak dapat isi RON97.
“Ada beberapa syarikat minyak yang sudah bersedia sepenuhnya dan beberapa lagi akan memulakannya secara berperingkat,” katanya.

Foto: Bernama
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengambil pendekatan lebih tegas dalam mengawal penggunaan bahan api bersubsidi, termasuk pelaksanaan larangan terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing.
Pengusaha stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan juga diarahkan mengawal jualan diesel kepada kategori kenderaan tertentu dengan had kuantiti bagi setiap transaksi.
Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diesel pada kadar tertentu tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab serta mengelakkan aktiviti penyelewengan atau penyeludupan.
“Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara bersiap siaga melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan,” katanya.
Melalui pelaksanaan Ops TIRIS 4.0, kerjasama antara KPDN dan agensi penguat kuasa lain akan diperkukuh bagi mengekang ketirisan serta memastikan pengurusan bekalan bahan api negara berada dalam keadaan lebih terkawal.
Sumber: Astro AWANI