Skip to main content

Advertisement

Berita

Isteri Cedera Dipukul Suami Hanya Kerana Mengidam Ayam Gepuk

Foto sekadar hiasan

Hanya kerana teringin menikmati ayam gepuk, seorang suri rumah berdepan detik menakutkan apabila didakwa menjadi mangsa keganasan suami dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Ikan Ayu, Cheras, Rabu lalu.

Advertisement

Insiden sekitar jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku selepas mangsa menyuarakan hasratnya untuk dibelikan makanan tersebut, namun perkara itu telah menimbulkan kemarahan suspek hingga bertindak di luar kawalan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud memaklumkan, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 9.03 malam hari sama.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek mula memarahi mangsa sebelum bertindak kasar.

“Mangsa mendakwa permintaan tersebut menyebabkan suspek berang sebelum memaki hamun,” katanya.

Beliau berkata, tindakan suspek kemudian menjadi semakin agresif apabila lelaki itu mencekik leher mangsa serta mengugut dengan pisau.

“Suspek kemudian bertindak mencekik leher mangsa serta mengambil sebilah pisau sayur dan meletakkannya di bahagian leher wanita itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, mangsa turut dipukul apabila ditampar di muka dan ditumbuk di bahagian kepala sepanjang kejadian berkenaan.

Akibat serangan tersebut, wanita itu mengalami kecederaan di bahagian leher sebelah kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.

Selepas menerima rawatan, mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Mohd Rosdi berkata, kes kini dalam siasatan selepas pihak polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.

Sumber: Sinar Harian

SINAR Muzik Retro Terbaik