
Foto: Astro AWANI
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengunjurkan aliran trafik yang tinggi dengan anggaran sekitar 3.49 juta kenderaan akan memenuhi lebuh raya utama serta laluan penghubung semasa tempoh puncak Aidilfitri.
Advertisement
Menurut Ketua Pengarahnya, Mohd Hadzmir Yusoff, lonjakan jumlah kenderaan dijangka bermula lebih awal, khususnya melibatkan pergerakan ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Bagi rangkaian lebuh raya utama, PLUS dijangka mencatat jumlah paling besar iaitu sekitar 2.30 juta kenderaan. Ini diikuti oleh Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dengan anggaran 215,000, Lebuhraya KL-Karak sebanyak 210,000, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 sekitar 106,000 dan Fasa 2 pula kira-kira 65,000 kenderaan.
Untuk laluan sambungan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang dijangka menerima sekitar 295,000 kenderaan, manakala Lebuhraya Kajang-Seremban dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor masing-masing dianggarkan mencatat 159,000 dan 135,000 kenderaan.
Dalam usaha melancarkan perjalanan, semua syarikat konsesi diminta memastikan tiada penutupan lorong dilakukan kecuali dalam keadaan kecemasan sepanjang tempoh bermula esok hingga 30 Mac. Pada masa sama, 34 laluan pintar di Lebuhraya PLUS akan diaktifkan, selain pelaksanaan kutipan tol berlapis di plaza yang dikenal pasti sesak bagi mengelakkan kesesakan melampau.
Langkah pemantauan turut dipertingkatkan di seluruh lebuh raya termasuk kawasan Rehat dan Rawat serta hentian sebelah. Antara inisiatif lain ialah penyediaan tandas mudah alih, memastikan bekalan air mencukupi serta menambah petugas dan ruang parkir di lokasi tertentu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik semasa dan perkembangan insiden melalui platform rasmi LLM di Facebook dan TikTok @llmtrafik, selain menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan bantuan aplikasi TuJu dan Travel Time Advisory, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mencukupkan baki untuk pembayaran tol menggunakan Touch ’n Go, e-wallet atau kad debit.
Sebelum ini, kerajaan turut mengumumkan pemberian potongan tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi meringankan kos perjalanan pulang ke kampung. Diskaun ini berkuat kuasa bermula 18 Mac hingga 19 Mac, melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di kebanyakan lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Sumber: Astro AWANI