
Foto sekadar hiasan
Seramai 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya memperoleh keputusan cemerlang apabila meraih gred A+, A dan A- bagi semua subjek, bersamaan 3.55 peratus daripada keseluruhan calon.
Advertisement
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, 376 calon memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran, menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 24 calon pada tahun lalu.
Menurut beliau, pencapaian calon yang memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian juga bertambah baik.
“Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2025 turut menunjukkan peningkatan 1.03 peratus, iaitu seramai 92,347 berbanding 86,040 calon pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 yang diadakan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan peningkatan terbaik dalam tempoh lima tahun apabila direkodkan pada 4.42 berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.
Jelasnya, penurunan sebanyak 0.07 mata itu menandakan prestasi calon semakin baik memandangkan nilai GPK yang lebih rendah menggambarkan pencapaian lebih tinggi.
“GPK calon mengikut lokaliti turut menunjukkan peningkatan apabila calon di bandar merekodkan sebanyak 4.40 pada tahun 2025 berbanding 4.47 pada 2024.
“Sementara itu, nilai GPK luar bandar merekodkan angka 4.81 pada tahun 2025 berbanding 4.92 pada 2024,” ujarnya.
Sebagai perbandingan, trend GPK sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menunjukkan peningkatan berterusan dengan catatan 4.46 pada 2024, 4.60 pada 2023, 4.74 pada 2022 dan 4.86 pada 2021.
Sumber: Sinar Harian, Kosmo