
Gambar Hiasan
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang dinanti-nantikan akhirnya diumumkan hari ini, sekali gus menjadi detik penting buat ratusan ribu calon di seluruh negara.
Advertisement
Seramai 413,372 calon boleh mendapatkan keputusan masing-masing bermula jam 10 pagi di sekolah masing-masing. Suasana di kebanyakan sekolah dijangka dipenuhi debaran, kegembiraan dan pelbagai emosi apabila para pelajar mengetahui hasil usaha mereka sepanjang hampir dua bulan menduduki peperiksaan.
Bagi memudahkan calon, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyediakan beberapa kaedah alternatif untuk semakan keputusan. Selain hadir ke sekolah, calon boleh membuat semakan secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi di myresultspm.moe.gov.my, yang boleh diakses bermula jam 10 pagi hari ini hingga jam 6 petang, 6 April ini.
Kemudahan semakan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) juga disediakan dengan menaip SPM dan menghantarnya ke talian 15888.
SPM 2025 berlangsung daripada 3 November hingga 23 Disember 2025, melibatkan sebanyak 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara. Tempoh peperiksaan yang panjang itu mencerminkan komitmen serta ketahanan mental dan fizikal calon dalam menghadapi antara peperiksaan paling penting dalam sistem pendidikan negara.

Gambar: BERNAMA
Sementara itu, analisis penuh keputusan SPM 2025 dijangka akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Mohd Azam Ahmad dalam satu sidang media khas di Putrajaya. Pengumuman tersebut bakal memberikan gambaran menyeluruh mengenai pencapaian calon, trend prestasi serta perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya.
Sumber: Astro Awani