Skip to main content

Advertisement

General

23 Juta Tong Minyak Sehari Lalu di Sini, Selat Melaka Rupanya Laluan Minyak Paling Sibuk Di Dunia!

Dunia moden hari ini sangat bergantung kepada minyak. Bermula dengan kereta yang kita pandu, kapal terbang yang kita naiki, sehinggalah industri besar semuanya memerlukan sumber tenaga ini. Tetapi pernah tak kita terfikir bagaimana minyak dari satu negara ke negara lain sebenarnya melalui laluan tertentu di laut?

Menariknya, terdapat beberapa laluan sempit strategik di dunia yang dianggap paling penting untuk perdagangan minyak global. Laluan ini dikenali sebagai ‘chokepoints’, iaitu tempat di mana sebahagian besar minyak dunia terpaksa melalui kawasan yang sempit.

Advertisement

Jika berlaku konflik, sekatan atau kemalangan di kawasan ini, bekalan minyak dunia boleh terganggu dan harga minyak berpotensi melonjak naik.

Berikut lima laluan minyak paling penting di dunia.

Selat Melaka (Laluan Minyak Paling Sibuk)

Lokasi: Malaysia, Indonesia & Singapura

Selat Melaka bukan sekadar laluan kapal biasa. Ia sebenarnya laluan minyak paling sibuk di dunia.

Setiap hari, kira-kira 23.2 juta tong minyak melalui selat ini untuk dihantar dari Asia Barat ke negara-negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Ini menjadikan Selat Melaka antara kawasan laut paling strategik di dunia.

Selat Hormuz (Pintu Keluar Minyak Timur Tengah)

Lokasi: Antara Teluk Parsi dan Teluk Oman

Selat Hormuz merupakan laluan utama untuk mengeksport minyak dari negara pengeluar terbesar dunia seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.

Anggaran sebanyak 20.9 juta tong minyak sehari melalui selat ini.

Tidak hairanlah kawasan ini sering menjadi perhatian geopolitik dunia kerana sebarang ketegangan boleh memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Terusan Suez (Jalan Pintas Asia ke Eropah)

Lokasi: Menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah

Terusan Suez di Mesir adalah laluan penting yang menghubungkan perdagangan antara Asia Barat dan Eropah.

Kira-kira 4.9 juta tong minyak sehari melalui laluan ini. Jika terusan ini terganggu, kapal terpaksa mengambil laluan jauh mengelilingi Afrika, yang memakan masa dan kos lebih tinggi.

Bab el-Mandeb (Pintu Masuk Laut Merah)

Lokasi: Antara Laut Merah dan Teluk Aden

Bab el-Mandeb merupakan laluan penting bagi kapal yang datang dari Terusan Suez menuju ke Lautan Hindi.

Sekitar 4.2 juta tong minyak sehari melalui kawasan ini, menjadikannya satu lagi titik kritikal dalam perdagangan tenaga dunia.

Selat Denmark (Laluan Atlantik Utara)

Lokasi: Antara Greenland dan Iceland

Selat ini menghubungkan Lautan Atlantik Utara dengan kawasan Artik. Walaupun kurang popular berbanding laluan lain, sekitar 4.9 juta tong minyak sehari juga yang melalui kawasan ini.

Walaupun laluan-laluan ini kelihatan kecil di peta dunia, kesannya terhadap ekonomi global sangat besar.

Jika berlaku konflik, sekatan, atau kemalangan kapal di mana-mana chokepoint ini, ia boleh menyebabkan bekalan minyak dunia terganggu, kos penghantaran meningkat dan paling menakutkan ialah harga minyak global akan melonjak.

Menariknya, Selat Melaka sebenarnya memainkan peranan paling besar dalam perdagangan minyak dunia.

Tak sangka kan, laluan yang kita nampak biasa di peta rupanya antara nadi utama ekonomi global.

Sumber: Berita RTM

SINAR Muzik Retro Terbaik