
Foto: Kompas.com
Pihak berkuasa di Yogyakarta membongkar satu kes mengejutkan melibatkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak dikenali sebagai Daycare Little Aresha yang dipercayai melakukan penderaan terhadap bayi.
Advertisement
Siasatan mendapati bayi-bayi di pusat tersebut diikat kaki dan dibiarkan hanya memakai lampin. Lebih membimbangkan, tindakan itu didakwa telah lama diamalkan dan menjadi rutin dalam kalangan pekerja.
Ketua polis, Rizky Adrian, berkata perkara itu diakui sendiri oleh pengasuh.
“Selain itu juga, pengasuh menyampaikan perkara ini telah menjadi turun-temurun. Ini bermakna perkara ini telah disampaikan kepada semua pekerja-pekerja di pusat asuhan tersebut,” katanya.
Serbuan dedah keadaan sebenar
Operasi serbuan yang dijalankan pada Jumaat lalu menemui beberapa bayi dalam keadaan kaki terikat, malah ada yang masih tidak sedarkan diri ketika ditemui. Rakaman kejadian itu kemudian tular di media sosial dan mengundang reaksi ramai.

Foto: Kompas.com
Difahamkan, pusat tersebut menempatkan lebih 100 kanak-kanak, dengan kira-kira separuh daripadanya dipercayai menjadi mangsa. Lebih 20 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik kecil, manakala nisbah seorang pengasuh kepada 10 bayi turut menimbulkan kebimbangan.
Menurut Rizky, beban tugas antara punca perkara itu berlaku.
“Mereka telah menghadapi masalah untuk memandikan, memakai baju sehingga diperintahkan membuat perkara tidak berperikemanusiaan ini,” jelasnya.
Ibu bapa mula sedar perubahan anak
Kes ini mula terbongkar selepas laporan dibuat oleh bekas pekerja. Dalam masa sama, ibu bapa turut berkongsi pengalaman mereka.
Seorang bapa, Noorman, berkata pusat itu pada awalnya kelihatan meyakinkan.
“Fasiliti dan aktiviti yang akan diberikan kepada anak termasuk bilik dengan penghawa dingin, katil, makan tengah hari dan pelbagai aktiviti bermain. Sebab itu saya sangat tertarik kepada Little Aresha,” katanya.

Foto: Kompas.com
Namun, beliau mula mengesyaki sesuatu apabila anak-anaknya sering pulang dalam keadaan lapar.
“Setiap hari pulang ke rumah, anaknya akan sentiasa mengadu dia lapar dan meminta air dan susu,” ujarnya.
Seorang lagi ibu, Erika Rismay, turut berkongsi perbualan menyayat hati bersama anaknya.
“Supaya saya tidak nangis. Jadi ibu tidak akan dengar saya nangis,” kata kanak-kanak itu.
Kes ini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian tersebar luas.
Susulan itu, seramai 13 individu termasuk pengurusan dan pengasuh pusat berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak.
Sumber: Kompas.com