Skip to main content

Advertisement

Berita

Bahasa Isyarat Malaysia Dijangka Diperkenalkan Kepada Murid Arus Perdana Mulai 2027

Foto sekadar hiasan

Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dijangka diperkenalkan sebagai subjek tambahan kepada murid arus perdana menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).

Advertisement

Inisiatif yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu dilihat sebagai satu usaha memperkukuh pendidikan inklusif selain meningkatkan kesedaran murid terhadap golongan orang kurang upaya sejak di bangku sekolah.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata cadangan tersebut sebenarnya melengkapkan pelbagai usaha yang telah dilaksanakan kementerian sebelum ini.

Sejak 2011, KPM telah memperkenalkan subjek Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) serta Pendidikan Asas Individu Kurang Upaya Penglihatan (PAIKUP) dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK).

Selain itu, pembelajaran BIM yang dijalankan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut membolehkan murid berkeperluan khas mengikuti proses pembelajaran bersama pelajar arus perdana dalam persekitaran yang sama.

“Penyertaan daripada murid aliran perdana dapat meningkatkan kefahaman serta toleransi terhadap golongan orang kurang upaya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendedahan kepada bahasa isyarat mampu membantu murid berinteraksi dengan rakan sekelas yang mempunyai keperluan khas, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih terbuka dan inklusif.


Foto sekadar hiasan

Dalam masa yang sama, KP2027 memberi peluang kepada sekolah yang mempunyai kelas PPKI untuk memperkenalkan BIM kepada murid arus perdana lebih awal bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap cabaran yang dihadapi komuniti OKU.

Pada masa sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperhebatkan pelbagai inisiatif bagi menyokong kanak-kanak kurang upaya terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah. Bantuan yang disediakan meliputi aspek kebajikan serta pendidikan sehingga mereka melangkah ke alam dewasa.

Usaha berkenaan difahamkan memberi tumpuan kepada lima perkara utama iaitu bantuan kewangan, pelaksanaan pendidikan inklusif, intervensi dan pemulihan awal, latihan kemahiran serta perlindungan dari sudut dasar dan undang-undang.

“Kami mahu memastikan setiap kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga miskin tidak tercicir dalam aspek pembangunan dan peluang pendidikan bermula dari usia kanak-kanak hingga dewasa,” ujar Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri.

Foto sekadar hiasan

Tambah beliau lagi, pendidikan inklusif turut diperkasakan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta penyediaan geran intervensi awal kepada TASKA OKU bagi membantu membangunkan kemahiran sosial kanak-kanak.

Dari segi pemulihan pula, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menyediakan latihan asas serta aktiviti sosial kepada peserta selain menawarkan elaun bulanan sebanyak RM300. Pemegang kad OKU juga diberikan beberapa kemudahan seperti pengecualian yuran rawatan serta manfaat berkaitan pengangkutan.

Semua inisiatif tersebut dilaksanakan selaras dengan Dasar OKU Negara serta Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memastikan komuniti OKU memperoleh akses yang adil kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perlindungan kebajikan dan penyertaan dalam masyarakat.

Melalui sokongan awal dan persekitaran sosial yang lebih inklusif, kanak-kanak kurang upaya diharap dapat membesar dengan keyakinan untuk menghadapi kehidupan apabila dewasa nanti.

Sumber: Bernama

SINAR Muzik Retro Terbaik