
Foto: Astro AWANI
Seorang lelaki dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah sekitar jam 8.30 pagi bagi proses pendakwaan berhubung insiden tersebut.
Beliau mengesahkan perkara itu menerusi makluman ringkas kepada pihak media malam tadi.
Menurut siasatan, lelaki terbabit didapati positif alkohol serta dadah dan telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda mencecah RM100,000 selain hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya selama satu dekad.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.40 pagi Ahad lalu di Jalan Raya Barat, mangsa Amirul Hafiz Omar, 33, meninggal dunia di lokasi selepas motosikalnya dilanggar sebuah kenderaan.
Kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan dalam keadaan laju menuju ke arah pusat bandar Klang sebelum berlaku pelanggaran.
Siasatan turut mendapati suspek memotong beberapa buah kenderaan lain sebelum merempuh mangsa, menyebabkan lelaki itu tercampak dan jatuh ke atas sebuah Perodua Myvi.
Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.
Difahamkan, Amirul Hafiz bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan melakukan kerja penghantaran pada sebelah malam bagi menampung keperluan keluarga.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga orang anak berusia antara dua hingga sembilan tahun.
Sumber: Astro AWANI