Skip to main content

Advertisement

Berita

Tragedi Ragut Nyawa Bapa, MARA Ambil Dua Anak Amirul Hafiz Sebagai Anak Angkat

Gambar: BERNAMA

Di sebalik tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang bapa di Klang baru-baru ini, sinar harapan muncul buat dua kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil menghulurkan bantuan berterusan.

Advertisement

MARA mengumumkan mengambil dua beradik, Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA (YPM). Kedua-duanya adalah anak kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam nahas jalan raya tersebut.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu bukan sekadar bantuan sementara, sebaliknya satu komitmen jangka panjang demi memastikan masa depan pendidikan kanak-kanak berkenaan terus terpelihara.

Menurut beliau, kedua-dua beradik itu akan menerima elaun bulanan sebanyak RM120 ketika di sekolah rendah, yang akan dinaikkan kepada RM150 apabila melangkah ke sekolah menengah. Bantuan tersebut turut disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan.

“Ini adalah tanggungjawab dan tanda keprihatinan kita. Insya-Allah, MARA akan sentiasa bersama mereka dalam membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff serta Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff yang mewakilinya menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan bantuan.

Beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada Muhammad Aqif Amsyar dan Muhammad Afif Izz Rayqal agar terus kuat menghadapi ujian hidup serta menumpukan perhatian kepada pelajaran demi masa depan yang lebih cerah.

Tragedi yang berlaku itu bukan sahaja meragut nyawa seorang suami dan bapa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan. Asyraf Wajdi berkongsi bahawa beliau sempat melakukan panggilan video bersama ibu mangsa, Faridah Ahmad, 56, yang dalam nada sebak menggambarkan arwah sebagai seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.

“Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan, tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 20-an direman selama empat hari selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, Ahad lalu.

Sumber: BERNAMA

SINAR Muzik Retro Terbaik