
Kemeriahan Ramadan jelas terasa di Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi apabila Astro Audio menganjurkan program Kami Care Drive-Thru Bubur Lambuk, yang kini menjadi antara program komuniti paling dinanti setiap tahun.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mengagihkan juadah tradisi Ramadan, malah membuka ruang kepada penyampai radio untuk bertemu lebih dekat dengan para pendengar.
Advertisement
Program tersebut menyaksikan penyertaan aktif penyampai dan sukarelawan daripada 13 stesen radio Astro Audio yang sama-sama berganding bahu menjayakan acara berkenaan.
Menurut Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, sebanyak 2,000 pek bubur lambuk berjaya diagihkan kepada penduduk sekitar Bangi sepanjang program berlangsung.
Beliau menyifatkan sambutan yang diterima sebagai sangat menggalakkan dan mencerminkan semangat kebersamaan yang masih kukuh dalam kalangan masyarakat.
Priya turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Masjid Al Hasanah yang menyediakan ruang serta fasiliti bagi memastikan program tersebut berjalan dengan lancar.

Selain itu, YEOS selaku penaja utama turut memainkan peranan penting dalam memeriahkan program dengan mengagihkan pelbagai minuman kegemaran ramai termasuk Soya Bean dan Lemon Tea.
Menurut Priya, usaha seperti ini penting bagi memastikan hubungan antara penyampai radio dan pendengar tidak hanya terjalin di udara, tetapi juga di dunia nyata.