
Foto: Facebook
Orang ramai diminta menghentikan aktiviti bermain mercun dan bunga api secara terbuka di beberapa lokasi tumpuan di bandar raya ini serta Kuala Nerus yang dilaporkan semakin kerap berlaku sepanjang bulan Ramadan.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, memaklumkan bahawa kes pembakaran mercun dan bunga api paling kerap dilaporkan di kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Pantai Seberang Takir dan Pantai Batu Burok.
“Saya ingatkan orang ramai di Dataran Drawbridge, Pantai Seberang Takir dan Batu Burok supaya tidak melakukan pembakaran mercun sewenang-wenangnya.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan gangguan awam dan Seksyen 286 akta sama iaitu kecuaian melibatkan bahan letupan,” tegas beliau.
Menurut beliau, perbuatan ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah berpotensi menyebabkan kecederaan serius. Terdahulu, pada 12 Mac, seorang wanita berusia 37 tahun dilaporkan mengalami trauma selepas dibaling mercun ketika berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Akibat kejadian itu, betis mangsa melecur dan pakaiannya rosak terkena percikan mercun.
Azli turut memaklumkan bahawa pemantauan akan dipertingkat di lokasi-lokasi panas terutama pada waktu malam bagi membanteras aktiviti mercun dan bunga api yang berbahaya.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini diambil untuk memastikan keselamatan orang ramai serta mengelakkan insiden yang tidak diingini berulang.
Sumber: Kosmo