Hampir 1,000 pelari dari pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Wilayah Utara menerusi KITA FM Run, sekali gus mencipta detik bermakna buat SINAR dalam usaha mendekati komuniti serta memupuk gaya hidup sihat dan aktif.
Penganjuran larian terbuka itu berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat dari Perlis dan Kedah, termasuk kanak-kanak, golongan muda, keluarga serta warga emas yang sama-sama menyahut seruan untuk kekal aktif sambil mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Advertisement
Lebih daripada sekadar acara larian, KITA FM Run menjadi platform yang menghimpunkan pendengar dan masyarakat dalam suasana penuh kemeriahan, semangat kesukanan dan muhibah.
Hampir 1,000 peserta bukti sokongan luar biasa
Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, melahirkan rasa syukur dan bangga terhadap sambutan luar biasa yang diberikan warga utara terhadap inisiatif di bawah kempen KITA FM itu.
Menurut beliau, penyertaan hampir 1,000 pelari membuktikan peranan SINAR bukan sekadar sebagai medium hiburan menerusi radio, malah mampu menjadi penggerak kepada aktiviti kemasyarakatan.
“Kami di SINAR amat terharu dan berbangga dengan sambutan luar biasa daripada warga Perlis dan Kedah pada hari ini.
“Kehadiran hampir 1,000 pelari daripada pelbagai peringkat umur, daripada anak muda hinggalah ke golongan warga emas, benar-benar membuktikan bahawa platform SINAR bukan sahaja menghiburkan menerusi corong radio, malah berupaya menjadi penggerak utama dalam menyatukan masyarakat melalui gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.
Zureen berkata, penganjuran KITA FM Run turut bertujuan merapatkan hubungan antara pendengar dengan penyampai radio, selain menyemarakkan semangat muhibah yang menjadi antara teras kepada pembinaan komuniti.
Katanya, melihat keterujaan dan semangat peserta sehingga ke garisan penamat memberikan kepuasan tersendiri kepada pihak penganjur.
“Program KITA FM Run ini dianjurkan khusus untuk merapatkan jurang silaturahim antara pendengar dan penyampai, sekali gus menyemarakkan semangat muhibah yang menjadi teras kepada komuniti kita.
“Melihat senyuman, tenaga serta semangat juang setiap peserta di garisan penamat tadi adalah satu kepuasan yang tidak ternilai bagi kami,” katanya.
Bakal cipta rekod baharu

Lebih istimewa, edisi kali ini membawa makna yang lebih besar apabila penganjuran tersebut bakal tercatat secara rasmi dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori larian komuniti terbesar di Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah stesen radio.
Jika disahkan secara rasmi, pencapaian itu bakal menjadi satu lagi sejarah penting buat SINAR, selain membuktikan keupayaan jenama radio berkenaan menghimpunkan penyertaan masyarakat dalam skala besar menerusi aktiviti luar konti.
Kejayaan tersebut juga mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap inisiatif yang bukan sahaja berteraskan hiburan, tetapi turut menggalakkan gaya hidup sihat dan interaksi komuniti.
Peserta terima sijil penghargaan
Sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang menyertai dan berjaya menamatkan larian, pihak penganjur turut menyediakan sijil penghargaan khas daripada Astro Audio.
Sijil berkenaan bukan sekadar menjadi kenangan daripada penyertaan mereka dalam KITA FM Run, malah menjadi simbol penglibatan peserta dalam satu acara yang bakal melakar sejarah buat SINAR dan KITA FM.
Pada masa sama, pihak pengurusan SINAR merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memastikan acara berkenaan berlangsung dengan lancar dan selamat, termasuk pihak berkuasa tempatan, agensi keselamatan, sukarelawan, penaja rasmi serta seluruh warga Perlis dan Kedah.
Dengan sambutan yang diterima, KITA FM Run diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berasaskan komuniti pada masa akan datang, khususnya yang menggabungkan elemen kesihatan, kecergasan dan perpaduan.
Bagi SINAR, pencapaian di Wilayah Utara itu bukan sekadar tentang jumlah peserta, sebaliknya mengenai bagaimana sebuah jenama radio mampu membawa pendengar keluar daripada dunia frekuensi untuk bersama-sama mencipta pengalaman dan kenangan di dunia nyata.
SINAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio dan dikenali sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang menampilkan lagu-lagu popular era 90-an.
Selain mengikuti siaran radio, pendengar turut boleh mengikuti SINAR menerusi platform media sosial rasmi serta aplikasi SINAR di App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.