
Foto: MetroTV
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyuarakan pandangan bahawa negaranya berada dalam kalangan lokasi paling selamat di dunia sekiranya berlaku konflik besar seperti Perang Dunia Ketiga.
Advertisement
Memetik laporan Metro TV News, kenyataan itu dibuat ketika beliau menghadiri mesyuarat kerja bersama barisan menteri serta ketua syarikat milik negara di Istana Kepresidenan pada Rabu.
Menurut beliau, jika perang berskala besar benar-benar berlaku, Indonesia mempunyai kelebihan dari segi keselamatan berbanding negara lain.
“Kalau berlaku Perang Dunia Ketiga, negara mana yang selamat? Indonesia termasuk antara yang teratas,” katanya.
Prabowo turut menjadikan situasi di Bali sebagai contoh, apabila pulau tersebut kini menjadi tumpuan ramai warga dari negara bergolak seperti Rusia dan Ukraine.
“Sekarang kalau pergi ke Bali, lihat berapa ramai orang Rusia di situ, berapa ramai orang Ukraine di situ,” ujarnya.
Tambah beliau, kehadiran mereka menunjukkan tahap kestabilan Indonesia yang diyakini, sehingga dipilih sebagai lokasi untuk menjauhkan diri daripada konflik di negara asal.
Dalam pada itu, kerajaan merancang menubuhkan sebuah pusat kewangan khas bagi menarik pelabur luar serta individu yang ingin melindungi aset mereka dalam persekitaran lebih stabil.
Prabowo memaklumkan bahawa cadangan itu datang daripada Luhut Binsar Pandjaitan selaku Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional.
Bali dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk pembangunan tersebut kerana popularitinya sebagai destinasi antarabangsa, termasuk dalam kalangan mereka dari kawasan konflik.
“Sekarang wang-wang di Timur Tengah mahu ke mana? Negara mana yang tidak berperang? Indonesia antara yang paling diminati,” katanya lagi.
Sumber: MetroTV