
Gambar: Sinar Harian
Siapa sangka, hanya kerana sepotong roti, dua beradik ini terpisah sehingga lebih tiga dekad dan dipertemukan semula dengan bantuan sekeping gambar lama serta teknologi moden.
Advertisement
Kisah menyayat hati ini melibatkan Li Lin, 44, dari wilayah Hubei yang akhirnya menemui kembali adiknya, Li Xin selepas 33 tahun terpisah dalam satu kejadian tragis ketika mereka masih kecil.
Segalanya bermula selepas kedua-dua mereka kehilangan ibu akibat kanser, manakala bapa pula dilaporkan mengalami gangguan mental sebelum menghilangkan diri. Sejak itu, Lin yang ketika itu baru berusia 11 tahun terpaksa memikul tanggungjawab besar menjaga adiknya yang berusia tujuh tahun dengan hanya mengutip sisa makanan untuk meneruskan hidup.
Namun sebuah tragedi hitam terjadi pada satu hari ketika hujan mencurah.
Ketika berteduh di belakang sebuah lori, mereka tertidur sebelum tanpa sedar dibawa ke bandar lain. Dalam keadaan lapar dan kebingungan, seorang wanita warga emas muncul menawarkan roti kepada adiknya. Tanpa mengesyaki apa-apa, Lin membenarkan adiknya mengikut wanita tersebut dan rupanya itu adalah permulaan kepada perpisahan mereka.
“Saya hidup dengan rasa bersalah sepanjang hayat,” luah Lin, yang tidak pernah berhenti menyalahkan dirinya.
Lebih menyedihkan, Li Xin mendedahkan dia pernah cuba melarikan diri untuk mencari kakaknya, namun ditangkap, dipukul, dikurung dan dibiarkan kelaparan. Selepas berjaya meloloskan diri, dia hidup sebagai pengemis sebelum akhirnya diambil sebagai anak angkat di Guangdong dan diberi nama baharu, Han.
Walaupun hidupnya berubah, satu perkara tidak pernah padam daripada ingatannya dan kepercayaan bahawa dia masih mempunyai seorang kakak.
“Saya tak pernah berhenti mencari,” katanya penuh emosi.
Dalam masa yang sama, Lin pula menghabiskan 33 tahun hidupnya merantau ke seluruh China, melakukan pelbagai pekerjaan demi meneruskan pencarian. Daripada mengangkat batu bata hingga mencuci pinggan di kilang, satu-satunya petunjuk yang dipegang hanyalah sekeping gambar lama.

Gambar Hiasan
Akhirnya, tahun ini menjadi titik pertemuan yang dinanti. Dengan bantuan seorang pegawai polis di Jiangxi menggunakan teknologi pengecaman wajah, seorang lelaki bernama Han di Guangdong dikenal pasti sebagai Li Xin yang hilang.
Pertemuan semula mereka benar-benar menyentuh hati.
Lin membawa roti sebagai simbolik, tanda bahawa dia tidak pernah melupakan detik perpisahan itu. Dalam tangisan, Xin memeluk kakaknya dan meminta agar dia tidak lagi menyalahkan diri. Dia turut menegaskan bahawa tiada dendam dan hanya rindu yang tidak pernah padam.
Kepulangan Xin ke kampung halaman di Xiantao disambut penuh meriah dengan permaidani merah, mercun, kek hari jadi serta hidangan tangyuan yang melambangkan penyatuan keluarga dalam budaya Cina.
Bagi Xin, pertemuan itu merupakan anugerah terbesar dalam hidupnya.
Manakala Lin kini masih menyimpan satu harapan agar suatu hari nanti mereka dapat menjejaki bapa mereka dan kembali bersatu sebagai sebuah keluarga yang lengkap.
Sumber: Sinar Harian