
Gambar: Astro Awani
Malaysia kini berdepan ancaman baharu yang membimbangkan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan usaha sindiket pengedaran dadah yang memperkenalkan vape mengandungi furanyl fentanyl ke pasaran tempatan. Dadah yang digelar sebagai ‘dadah zombie’ itu dipercayai dijual secara terbuka kepada pelanggan tertentu menerusi kartrij vape.
Advertisement
Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan ramai, terutama ibu bapa, kerana vape semakin popular dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Apa yang lebih menakutkan, ramai mungkin tidak sedar bahawa bahan yang disedut itu sebenarnya boleh membawa maut walaupun dalam dos yang sangat kecil.

Fentanyl merupakan sejenis ubat tahan sakit jenis opioid yang digunakan secara sah dalam bidang perubatan. Ia biasanya diberikan kepada pesakit kanser tahap akhir atau mereka yang menjalani pembedahan besar kerana kekuatannya yang luar biasa.
Namun apabila disalah guna, fentanyl menjadi antara dadah paling berbahaya di dunia. Dadah ini dikatakan 50 hingga 100 kali lebih kuat daripada morfin atau heroin. Malah, dos sekecil dua milligram bersamaan beberapa butir garam halus sudah cukup untuk menyebabkan kematian.
Dalam dunia perubatan sendiri, penggunaan fentanyl dilakukan dengan kawalan ketat dan dos yang sangat kecil iaitu dalam unit mikrogram, bukannya miligram. Sebab itu penyalahgunaannya boleh membawa risiko maut dalam sekelip mata.
Gelaran ‘dadah zombie’ muncul kerana kesan fentanyl terhadap tubuh manusia sangat ekstrem. Pengguna boleh menjadi separuh sedar, tubuh menjadi lemah, pergerakan perlahan dan kelihatan seperti hilang kawalan diri.

Gambar: New York Times
Di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, rakaman individu yang dipercayai mengambil fentanyl tular kerana keadaan mereka kelihatan seperti ‘zombie’ di jalanan. Lebih membimbangkan, ramai mangsa maut akibat dos berlebihan tanpa sempat diselamatkan kerana dadah ini boleh menghentikan pernafasan secara tiba-tiba.

Ancaman kini menjadi lebih serius apabila sindiket mula menggunakan vape sebagai medium pengedaran. Kartrij vape yang dicampur fentanyl sukar dikesan oleh pengguna biasa, terutama golongan muda yang menganggap vape sekadar alternatif kepada rokok.
PDRM memberi amaran bahawa dadah ini kadangkala dicampur ke dalam bahan lain tanpa pengetahuan pengguna. Ini bermakna seseorang boleh mengalami overdose walaupun menyangka mereka hanya menghisap vape biasa.
Susulan kebimbangan yang semakin meningkat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa langkah penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan fentanyl menerusi vape akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kesedaran awal, pemantauan ibu bapa dan pendidikan tentang bahaya dadah moden amat penting supaya generasi muda tidak menjadi mangsa trend yang membawa padah ini.