Skip to main content

Advertisement

General

Negara Ini Tidak Ditakluk dan Tidak Dijajah Tetapi Dibeli Dengan Duit, Kini Antara Negara Terkaya Dunia!

Di tengah-tengah banjaran Alps Eropah, wujud sebuah negara kecil yang sejarah penubuhannya cukup luar biasa. Ia bukan terbentuk melalui peperangan, revolusi rakyat atau warisan empayar besar seperti kebanyakan negara lain. Sebaliknya, negara ini lahir hasil satu pembelian politik, konsepnya seperti membeli hartanah.

Negara tersebut ialah Liechtenstein.

Advertisement

Pada tahun 1699, Putera Johann Adam Andreas von Liechtenstein membeli wilayah kecil bernama Lordship of Schellenberg. Beberapa tahun kemudian, pada 1712, beliau membeli pula County of Vaduz. 

Gambar: Istana Vaduz

Kedua-dua kawasan itu hanyalah lembah kecil di kawasan Alpine Rhine yang ketika itu miskin dan terkesan akibat wabak serta peperangan.

Namun apa yang menarik, harga pembelian wilayah tersebut jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar tanah itu sendiri. Tetapi bagi putera berkenaan, tanah itu bukan matlamat utama.

Apa yang sebenarnya beliau mahukan ialah status politik.

Pada zaman Empayar Roman Suci, seseorang bangsawan hanya layak mendapat tempat dalam Imperial Diet Vienna, sebuah majlis pemerintahan tertinggi empayar jika memiliki wilayah yang berada terus di bawah empayar tersebut.

Jadi, pembelian dua wilayah kecil ini sebenarnya adalah strategi untuk mendapatkan pengaruh politik dan kerusi undi dalam pentadbiran empayar.

Daripada situlah lahirnya Liechtenstein, sebuah negara yang unik kerana tercipta bukan atas semangat nasionalisme, tetapi hasil percaturan kuasa dan diplomasi.

Lebih mengejutkan, putera yang membeli wilayah itu sendiri tidak pernah melawat tanah yang dimilikinya sepanjang hayatnya. Malah penggantinya juga melakukan perkara sama.

Hanya pada tahun 1842, kira-kira 150 tahun selepas pembelian pertama dibuat, seorang Putera Liechtenstein akhirnya datang menjejakkan kaki ke negara milik keluarganya itu.

Sejarah pelik Liechtenstein tidak berhenti di situ.

Gambar: Interessia.com

Pada Mac 2007, kira-kira 170 anggota tentera Switzerland secara tidak sengaja memasuki Liechtenstein sejauh lebih satu batu akibat tersilap sempadan ketika latihan ketenteraan.

Apa yang lucu, Liechtenstein sendiri tidak menyedari ‘pencerobohan’ tersebut berlaku. Mereka hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan oleh pihak Switzerland.

Tiada krisis diplomatik. Tiada ketegangan. Liechtenstein memilih untuk tidak memperbesarkan perkara itu.

Hubungan kedua-dua negara kekal baik sehingga hari ini.

Walaupun bersaiz kecil dengan populasi sekitar 40,000 orang, Liechtenstein kini muncul sebagai salah satu negara terkaya di dunia berdasarkan pendapatan per kapita.

Negara ini terkenal dengan:

  • Kadar pengangguran sekitar 1.5%

  • Hutang negara yang sangat rendah

  • Kadar jenayah antara paling rendah di dunia

  • Kes pembunuhan terakhir dilaporkan sekitar tahun 1997

Liechtenstein juga mempunyai budaya monarki moden yang unik. Setiap sambutan Hari Kebangsaan, Putera Hans-Adam II akan menjemput rakyat hadir ke taman Istana Vaduz untuk menikmati sambutan santai bersama keluarga diraja, termasuk minum bir bersama rakyat.

Daripada sebuah wilayah kecil yang dibeli demi kerusi politik, Liechtenstein kini menjadi simbol kestabilan, kemakmuran dan kehidupan berkualiti tinggi di Eropah.

 

SINAR Muzik Retro Terbaik