Skip to main content

Advertisement

General

16 Bekas Anggota ATM Mula Bertugas Sebagai Warden MRSM Bermula 1 Julai, Fokus Perkukuh Disiplin dan Tangani Buli

Gambar: BERNAMA

Seramai 16 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula melaporkan diri sebagai warden sepenuh masa di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula 1 Julai 2026, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh disiplin pelajar dan mewujudkan persekitaran asrama yang lebih selamat.

Advertisement

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa inisiatif tersebut merupakan fasa kedua pelaksanaan program pelantikan warden daripada kalangan veteran tentera selepas projek rintis dilaksanakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang sejak 18 Oktober tahun lalu.

Menurut beliau, pendekatan ini bukan sekadar menambah tenaga pengurusan asrama, tetapi menjadi sebahagian daripada langkah strategik untuk membentuk budaya disiplin yang lebih kukuh serta memastikan isu buli dapat dibendung secara lebih berkesan.

Bagi keperluan semasa, sebanyak 32 jawatan warden disediakan untuk lapan MRSM terlibat dengan komposisi dua warden lelaki dan dua warden wanita bagi setiap institusi. Untuk fasa pertama, seramai 16 warden lelaki akan memulakan tugas terlebih dahulu bermula bulan ini.

Dalam masa sama, proses pengambilan warden wanita sedang diteruskan apabila seramai 162 calon telah mengemukakan permohonan. Ujian secara dalam talian telah berlangsung pada 25 Jun lalu manakala sesi temu duga fizikal dijadualkan pada 2 Julai sebelum pelantikan dibuat selepas semua proses penilaian selesai.

Asyraf menjelaskan bahawa pemilihan calon dilaksanakan secara bersama oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn Bhd (GLSB), dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.

Beliau menegaskan proses pemilihan yang dijalankan bukan sekadar berdasarkan sesi temu duga biasa, malah melibatkan pelbagai lapisan tapisan yang ketat bagi memastikan hanya calon terbaik dipilih untuk menjaga kebajikan pelajar.

Sesi temu duga fizikal yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun di Institut Kemahiran Tinggi MARA, Kepong melibatkan 147 calon termasuk 139 calon lelaki yang telah melepasi tapisan awal dan peringkat kedua.

Semua calon juga diwajibkan melalui pelbagai bentuk penilaian termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga bersama panel pelbagai agensi.

Malah, sebelum surat tawaran dikeluarkan, calon akhir akan menjalani penilaian tambahan bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM yang memberi fokus terhadap aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan tingkah laku, risiko salah laku seksual serta kesesuaian psikologi untuk ditempatkan di asrama.

Selain itu, semakan status veteran ATM, rekod jenayah melalui Polis Diraja Malaysia serta semakan berkaitan pesalah jenayah seksual kanak-kanak turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tapisan prapelantikan.

Menurut Asyraf, MARA berpegang kepada prinsip bahawa tiada pelantikan akan dibuat selagi semua proses semakan dan penilaian belum disempurnakan sepenuhnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa program ini akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 58 MRSM di seluruh negara dengan fasa ketiga dijadual bermula pada 1 Januari 2027.

Tambah beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan institusi MRSM terus menjadi persekitaran pendidikan yang selamat, berdisiplin dan mampu memenuhi harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap sistem pendidikan berasrama.

Sumber: BERNAMA

SINAR Muzik Retro Terbaik