
Gambar: BERNAMA
Laluan Shah Alam kendalian Rapid KL mencatat permulaan yang memberangsangkan apabila merekodkan lebih 60,000 perjalanan penumpang pada hari pertama operasinya, sekali gus memperlihatkan sambutan positif orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam baharu di koridor barat Lembah Klang.
Advertisement
Menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), jumlah keseluruhan itu merangkumi penggunaan perkhidmatan tren, bas perantara serta Rapid KL On-Demand (ROD) yang mula beroperasi secara rasmi pada Ahad lalu.
Daripada angka berkenaan, sebanyak 58,865 perjalanan direkodkan menerusi perkhidmatan tren, manakala 3,319 perjalanan lagi melibatkan rangkaian first-last mile Rapid KL, terdiri daripada 1,883 perjalanan menggunakan bas perantara dan 1,436 perjalanan melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, penerimaan awal yang amat positif itu mencerminkan keperluan sebenar terhadap rangkaian rel yang lebih meluas dan efisien di kawasan pertumbuhan pesat sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
Menurut beliau, angka yang dicatatkan pada hari pertama operasi juga membuktikan wujud permintaan tinggi terhadap pilihan mobiliti moden yang mampu menghubungkan kawasan kediaman, pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan hab komersial secara lebih lancar.
“Ini merupakan permulaan yang amat memberangsangkan. Kami akan terus memantau corak perjalanan penumpang, prestasi operasi dan maklum balas pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan terus dipertingkat apabila semakin ramai mula menggunakan laluan ini,” katanya.
Bagi memastikan perjalanan pengguna berjalan lancar, Rapid KL turut menempatkan petugas operasi, pegawai stesen dan pasukan Rapid Troopers di semua stesen Laluan Shah Alam. Langkah itu bertujuan membantu penumpang mendapatkan maklumat perjalanan serta panduan bagi pertukaran ke perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand.

Dalam masa sama, orang ramai masih boleh menikmati tambang percuma untuk semua perjalanan menggunakan Laluan Shah Alam dan bas perantara di sepanjang jajaran sehingga 31 Julai ini, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pengguna untuk mencuba pengalaman menggunakan laluan baharu tersebut.
Pembukaan Laluan Shah Alam dilihat bukan sahaja memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negara, malah menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup masyarakat ke arah mobiliti yang lebih cekap, mesra pengguna dan mampan.
Sumber: BERNAMA