Skip to main content

Advertisement

Berita

Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 Himpunkan Pendengar Setia, Kukuhkan Hubungan Komuniti di Bukit Jalil

Suasana sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar meriah apabila ratusan pendengar setia SINAR berhimpun bagi menjayakan Kedek-Kedek Walk SINAR 2026, sebuah program riadah yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara stesen radio itu dengan komuniti pendengarnya.

Program yang berlangsung pada Ahad, 28 Jun lalu dari jam 7.00 hingga 9.00 pagi itu menyaksikan para peserta hadir seawal pagi untuk bersama-sama memeriahkan acara yang dianjurkan sebagai platform mendekatkan jenama SINAR dengan para pendengar di luar siaran radio.

Advertisement

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang menikmati aktiviti berjalan kaki di sekitar kawasan stadium dalam suasana santai dan penuh kemesraan. Mereka turut mengambil peluang berinteraksi secara lebih dekat bersama barisan warga kerja SINAR serta berkenalan dengan pendengar lain yang berkongsi minat terhadap stesen radio berkenaan.

Sebagai penghargaan kepada sokongan yang tidak pernah putus daripada pendengar, 50 peserta terawal menerima merchandise eksklusif SINAR, selain menikmati hidangan ringan berupa roti dan air yang disediakan oleh pihak penganjur.

Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, berkata penganjuran Kedek-Kedek Walk merupakan antara usaha berterusan stesen radio itu untuk membina hubungan yang lebih bermakna bersama pendengarnya melalui pengalaman bersemuka.

"Di SINAR, pendengar sentiasa menjadi keutamaan kami. Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi menjadi ruang untuk kami bertemu dan berinteraksi secara lebih dekat dengan komuniti pendengar yang selama ini setia menyokong perjalanan SINAR.

"Kami amat gembira melihat kehadiran serta semangat yang ditunjukkan oleh para peserta. Sambutan yang diterima membuktikan bahawa pendengar bukan sahaja mengikuti kami di udara, malah sentiasa bersedia untuk bersama-sama menyertai aktiviti yang kami anjurkan.

"Program seperti ini juga selari dengan usaha kami mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Kami berharap Kedek-Kedek Walk akan terus menjadi platform yang menyeronokkan serta mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan seimbang," katanya.

Kejayaan penganjuran Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 sekali lagi membuktikan komitmen stesen radio berkenaan dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti pendengar menerusi pelbagai aktiviti lapangan yang relevan dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

Melalui inisiatif seperti ini, SINAR berharap dapat terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama radio pilihan rakyat Malaysia yang bukan sahaja menghiburkan menerusi seleksi muzik retro terbaik, malah berperanan menyatukan komuniti melalui pelbagai pengalaman bermakna di luar konti.

Sebagai sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio, SINAR terus mengukuhkan pengaruhnya sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang terkenal dengan lagu-lagu popular era 90-an. Dengan hampir empat juta pengikut di media sosial, SINAR kekal menjadi pilihan pendengar yang menggemari muzik retro, selain boleh diikuti menerusi frekuensi radio, platform media sosial rasmi dan aplikasi SINAR.

SINAR Muzik Retro Terbaik