Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Dekat 2 Tahun Dah.. Pihak Perempuan Je Dipandang Hina..” - Abby Abadi

Foto: Instagram

Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi kembali menjadi perhatian apabila meluahkan pandangan berhubung isu perkahwinan yang didakwa berlaku di luar negara tanpa pengesahan sah di Malaysia, dipercayai melibatkan anak perempuannya, Marissa Dania.

Advertisement

Menerusi perkongsian terbaharu di Threads, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah binti Abdul Manan itu mempersoalkan sama ada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak lelaki dalam situasi tersebut, selain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan yang dilihat memberi kesan kepada pihak wanita sahaja.

“Tolonglah Mahkamah Syariah di Malaysia, isu-isu macam ni tak boleh nak bertindak apa-apa ke untuk bagi pengajaran pada pihak lelaki? Dah la nikah luar Malaysia, dengan tiada pengesahan sijil nikahnya, dah 2 tahun dah... buat pihak perempuan je dipandang hina,” tulisnya.

Abby bagaimanapun turut mempersoalkan sama ada perbuatan tersebut tidak menyalahi undang-undang, selain meluahkan kebimbangan jika tindakan diambil oleh ibu bapa, mereka pula berdepan risiko dikenakan tindakan.

“Tak menjadi kesalahan ke di Malaysia bila lelaki perangai macam ni? Sesukahati nak buat apa pun... Kalau mak bapak bertindak kang, takut mak bapak pulak yang ke dalam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abby sebelum ini turut berkongsi pesanan penuh makna buat Marissa, mengingatkan anaknya agar terus mencari arah hidup dengan berpandukan nilai dan keimanan.

“Pusing-pusing dulu, lihat keindahan bumi milik Allah ini. Beri peluang kepada diri untuk merasa nikmat kehidupan yang Allah anugerahkan.

“Kalau hari ini Adik belum faham erti hidup, tidak mengapa. Yang penting, terus belajar dan jangan buat sesuatu hanya kerana ramai orang buat. Lakukan sesuatu apabila ia memberi ‘nilai’ kepada hidup Adik. Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat, tetapi pada jiwa dan hati yang tenang,” katanya.

Abby turut menegaskan bahawa kesilapan yang dilakukan pada usia muda bukanlah penamat, sebaliknya satu proses pembelajaran untuk menjadi insan yang lebih matang.

“Nasihat Mama kepada Adik, Adik baru 20 tahun. Kesilapan itu bukan bermakna Adik gagal. Itu tanda Adik sedang belajar menjadi manusia yang lebih baik dan matang. Anak Mama kuat!” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang turut membincangkan isu perkahwinan luar negara tanpa pendaftaran sah serta cabaran yang dihadapi dari sudut undang-undang dan sosial.

Sumber: Threads @abbyabadi_112

SINAR Muzik Retro Terbaik