Skip to main content

Advertisement

Kesihatan & Kecergasan

Kasut Runcing Punca Kaki Rosak? Ramai Tak Sedar Sendi Kaki Beralih dan Pembentukan Bunion!

Gambar Hiasan

Setiap kali menjelang Syawal, pasti ramai yang sanggup berkorban demi nampak cantik bergambar, termasuklah memilih kasut raya yang runcing walaupun kaki mula melecet dan sakit. Tetapi sebelum terus pakai demi gaya, ada satu perkara penting yang ramai tak sedar iaitu kaki anda mungkin sedang memberi isyarat kecemasan!

Advertisement

Cuba perhatikan ibu jari kaki. Ada benjolan keras di bahagian sendi pangkal? Lebih membimbangkan, ibu jari tu dah mula condong ke arah jari sebelah? Jika ya, itu bukan sekadar masalah biasa kerana anda mungkin sedang mengalami bunion atau nama perubatannya, hallux valgus.

Apa yang ramai silap faham, bunion ni bukan ketuat atau kulit keras yang boleh dikikis sesuka hati. Ia sebenarnya perubahan pada struktur tulang sendi yang dah lari daripada posisi asal. Maksudnya, bentuk kaki anda sendiri dah berubah dan ini boleh jadi semakin teruk kalau dibiarkan.

Antara punca utama? Ya, tak lain tak bukan… kasut yang terlalu sempit dan runcing. Rekaan kasut yang nampak elegan tu sebenarnya memaksa jari kaki berhimpit dalam ruang kecil, macam ‘dipaksa masuk acuan’. Lama-kelamaan, tekanan tu buat sendi ibu jari teralih dan mula membentuk benjolan.

Jadi, apabila kita bercadang untuk membeli kasut raya, mungkin dah tiba masanya untuk mengutamakan keselesaan dan bukan hanya melihat kecantikan kasut yang mampu menyakitkan kaki.

Gambar Hiasan

Pilih kasut dengan bahagian depan yang lebar, sama ada berbentuk bulat atau segi empat supaya jari kaki ada ruang untuk bergerak. Tumit rendah dan tapak rata juga membantu kurangkan tekanan pada bahagian depan kaki. Material lembut di bahagian atas kasut penting supaya tak bergesel dengan benjolan dan kalau ada tali lebih digalakkan kerana kaki lebih stabil dan tak mudah meluncur ke depan.

Sebaliknya, kasut jenis muncung tajam seperti stiletto atau pointy flats memang antara musuh utama yang perlu dielakkan. Ditambah pula dengan tumit tinggi dan material keras, ini kombinasi yang boleh memburukkan lagi keadaan bunion tanpa anda sedar.

Akhirnya, pilihan di tangan anda. Nak bergaya di pagi raya atau jaga kesihatan kaki untuk jangka panjang? Jangan sampai lepas raya, bukan kenangan indah je yang tinggal, tetapi juga sakit kaki yang berpanjangan.

Sumber: Public Health Malaysia

SINAR Muzik Retro Terbaik