Skip to main content

Advertisement

General

Bukan Suka-Suka, Ini Sebab Jurutera Pilih Bentuk Silinder Untuk Tong Gas dan Bukan Bentuk Lain!

Gambar Hiasan

Di dapur hampir setiap rumah, tong gas adalah antara peralatan paling biasa digunakan dan wajib ada. Namun pernahkah anda terfikir, kenapa hampir semua tong gas di dunia direka dalam bentuk silinder dan bukannya kotak atau segi empat?

Advertisement

Rupa-rupanya, bentuk ini bukan sekadar untuk nampak kemas, tetapi berkait rapat dengan faktor keselamatan dan prinsip fizik yang boleh menentukan sama ada ia selamat digunakan atau berpotensi menjadi bencana.

Gas yang disimpan dalam tong sebenarnya berada dalam keadaan tekanan yang sangat tinggi. Secara mudahnya, tekanan ini boleh diibaratkan seperti sekumpulan orang yang sedang menolak keluar melalui sebuah pintu sempit. Gas di dalam tong sentiasa ‘menolak’ ke arah dinding bekasnya untuk keluar. Sebab itu, struktur tong perlu cukup kuat untuk menahan tekanan daripada semua arah.

Bayangkan jika tong gas dibuat dalam bentuk segi empat atau kotak.

Menurut prinsip fizik, tekanan akan tertumpu lebih kuat pada bahagian rata dan terutama sekali di penjuru tajam. Bahagian sudut itu akan menjadi titik paling lemah.

Apabila tekanan gas terus menolak daripada dalam, sudut-sudut tersebut berisiko retak atau koyak dan jika itu berlaku, ia boleh menyebabkan kebocoran atau letupan yang sangat berbahaya.

Secara teori, bentuk sfera (bulat seperti bola) adalah bentuk paling sempurna untuk menahan tekanan. Ini kerana tekanan akan teragih sama rata ke semua arah, tanpa sebarang sudut lemah. Namun ada satu masalah besar.

Jika tong gas berbentuk bola, ia akan mudah bergolek ke mana-mana, menjadikannya tidak praktikal untuk disimpan atau digunakan di dapur. Akhirnya jurutera memilih bentuk silinder sebagai jalan tengah terbaik.

Bahagian atas dan bawah tong dibuat berbentuk kubah (dome) untuk menghapuskan sudut tajam. Dengan reka bentuk melengkung ini, tekanan gas dapat diagihkan secara sekata pada dinding tong.

Gambar Hiasan

Menariknya, konsep sama turut digunakan dalam industri lain. Sebagai contoh, tingkap kapal terbang juga direka berbentuk bulat, kerana bentuk melengkung lebih tahan terhadap tekanan berbanding sudut tajam.

Selain faktor keselamatan, bentuk silinder juga memberi satu kelebihan praktikal iaitu mudah untuk digolekkan ketika proses pemindahan dan penukaran tong gas. Ini memudahkan pekerja atau pengguna mengalihkan tong gas yang berat tanpa perlu mengangkat ia sepenuhnya.

Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, reka bentuk tong gas sebenarnya adalah hasil kajian kejuruteraan yang sangat teliti.

Bentuk silinder bukan sekadar pilihan rawak, tetapi keputusan penting yang membantu memastikan tong gas lebih tahan tekanan, lebih selamat dan lebih mudah digunakan.

 

SINAR Muzik Retro Terbaik