Skip to main content

Advertisement

Berita

Malaysia Bakal Jadi 'Negara Tua' Menjelang 2048, Kadar Kelahiran Terus Menjunam!

Gambar Hiasan

Malaysia kini berdepan perubahan demografi yang semakin ketara apabila negara diunjurkan mencapai status 'negara tua' menjelang tahun 2048, selepas secara rasmi dikategorikan sebagai 'negara menua' sejak 2021.

Advertisement

Perkembangan itu berlaku apabila populasi rakyat berusia 65 tahun ke atas telah mencecah tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk, sekali gus menandakan peralihan struktur umur negara yang memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak.

Pada masa yang sama, negara turut menyaksikan trend penurunan kadar kelahiran yang berterusan sejak sedekad lalu. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan nisbah kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk menurun daripada 16.7 pada tahun 2015 kepada hanya 12.2 pada tahun 2024, meskipun terdapat sedikit peningkatan pada 2023.

Lebih membimbangkan, Malaysia merekodkan 414,918 kelahiran hidup pada 2024, iaitu jumlah paling rendah dalam tempoh 44 tahun sejak 1980.

Trend itu masih berterusan pada tahun ini apabila statistik terkini menunjukkan jumlah kelahiran hidup bagi suku pertama 2026 menurun sebanyak 3.1 peratus kepada 94,807 kelahiran, berbanding 97,843 kelahiran dalam tempoh sama pada 2025.

Menurut DOSM, beberapa faktor dikenal pasti menjadi penyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di negara ini. Antaranya ialah perubahan gaya hidup masyarakat, peningkatan kos sara hidup, kecenderungan golongan muda melewatkan usia perkahwinan serta penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (Total Fertility Rate, TFR).

Gambar Hiasan

Ketika ini, TFR Malaysia berada pada sekitar 1.6 anak bagi setiap wanita, iaitu jauh di bawah kadar penggantian penduduk sebanyak 2.1, yang diperlukan bagi memastikan populasi kekal stabil dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Pakar melihat situasi ini bukan sekadar isu kependudukan, malah bakal memberi kesan besar terhadap ekonomi negara pada masa hadapan. Peningkatan jumlah warga emas dijangka meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan, penjagaan sosial serta sistem persaraan, manakala pengurangan bilangan penduduk usia bekerja boleh memberi tekanan kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

Sehubungan itu, trend penuaan penduduk dan kemerosotan kadar kelahiran kini dilihat sebagai antara cabaran utama negara yang memerlukan dasar jangka panjang serta langkah menyeluruh bagi memastikan keseimbangan struktur demografi dan kemampanan pembangunan Malaysia pada masa hadapan.

Sumber: BERNAMA

SINAR Muzik Retro Terbaik