Skip to main content

Advertisement

General

MyKad Generasi Baharu Mula Dikeluarkan 17 September, Lebih Moden dan Selamat!

Gambar: Jabatan Pendaftaran Negara

Selepas lebih dua dekad digunakan sebagai dokumen identiti utama rakyat Malaysia, MyKad kini memasuki fasa baharu menerusi pengenalan MyKad Generasi Baharu yang menampilkan pembaharuan dari segi reka bentuk, struktur serta ciri keselamatan.

Advertisement

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, penantian terhadap generasi baharu kad pengenalan itu bakal berakhir apabila MyKad Generasi Baharu mula dikeluarkan pada 17 September 2026.

Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh identiti nasional agar terus seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Menariknya, sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkapi Pusat Cetakan di seluruh negara akan bersedia mengeluarkan MyKad Generasi Baharu dengan tempoh siap pada hari yang sama.

Peralihan tersebut sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai yang berurusan di cawangan-cawangan terlibat, selain memperkenalkan pendekatan baharu terhadap dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia.

MyKad Generasi Baharu hadir dengan penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu reka bentuk yang lebih moden, keselamatan yang dipertingkatkan serta persediaan untuk keperluan masa hadapan.

JPN sebelum ini turut mengeluarkan pemakluman rasmi berhubung peralihan kepada MyKad Generasi Baharu pada 26 Ogos 2026.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk senarai 40 lokasi JPN yang menyediakan kemudahan cetakan pada hari sama, orang ramai boleh merujuk portal rasmi JPN.

Sebarang persoalan berkaitan MyKad Generasi Baharu juga boleh diajukan menerusi Chatbot JPN yang tersedia di Portal Rasmi JPN.

Pengenalan MyKad Generasi Baharu menandakan satu lagi langkah dalam evolusi dokumen identiti negara, membawa pembaharuan yang bukan sahaja menitikberatkan penampilan, malah aspek keselamatan dan keperluan teknologi masa hadapan.

Sumber: Threads (Jabatan Pendaftaran Negara)

SINAR Muzik Retro Terbaik